Connect with us

Terkini

Gabenor cadang lelaki miskin dimandulkan kekang kelahiran

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi.
  • Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi dalam kenyataan yang mendapat perhatian meluas media tempatan berkata, “Kalau seseorang tidak mampu membiayai kehamilan dan pendidikan anak, lebih baik jangan terburu-buru mahu menjadi ibu bapa.”
  • “Saya ingin lelaki lebih bertanggungjawab dalam hal perancangan keluarga, bukan hanya menyandarkan kepada wanita,” tegasnya.
  • Kenyataan itu segera mencetuskan perdebatan hangat melibatkan tokoh agama, pemimpin masyarakat, pakar akademik, pertubuhan hak asasi manusia dan rakyat jelata yang menganggap cadangan tersebut sebagai keterlaluan, tidak berperikemanusiaan dan bertentangan hak asasi.

JAKARTA – Cadangan menjadikan prosedur vasektomi sebagai syarat pemberian bantuan sosial kepada lelaki miskin yang dikemukakan Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi pada 29 April lalu dilapor mencetuskan kontroversi hebat dalam kalangan rakyat Indonesia.

Langkah itu dikatakan bertujuan mengekang kadar kelahiran dalam kalangan keluarga miskin, dengan matlamat jangka panjang mengurangkan kemiskinan tegar di wilayah berkenaan, lapor Sinar Harian semalam.

Dedi dalam kenyataan yang mendapat perhatian meluas media tempatan berkata, “Kalau seseorang tidak mampu membiayai kehamilan dan pendidikan anak, lebih baik jangan terburu-buru mahu menjadi ibu bapa.”

Cadangan Gabenor Jawa Barat itu juga menetapkan bahawa lelaki yang bersedia menjalani vasektomi akan menerima insentif Rp500,000 (RM130).

Lebih kontroversial, bantuan lain seperti subsidi makanan, perubatan, biasiswa dan perumahan turut akan bergantung kepada kesanggupan mereka menjalani prosedur itu.

“Saya ingin lelaki lebih bertanggungjawab dalam hal perancangan keluarga, bukan hanya menyandarkan kepada wanita,” tegasnya.

Kenyataan itu segera mencetuskan perdebatan hangat membabitkan tokoh agama, pemimpin masyarakat, pakar akademik, pertubuhan hak asasi manusia dan rakyat jelata yang menganggap cadangan tersebut sebagai keterlaluan, tidak berperikemanusiaan dan bertentangan hak asasi.

Vasektomi ialah kaedah perancang keluarga kekal untuk lelaki melibatkan prosedur kecil di mana saluran membawa sperma dari buah zakar dipotong dan ditutup. Prosedur itu mencegah kehamilan dengan menghalang sperma daripada bercampur air mani dan ia tidak menjejaskan keupayaan seksual lelaki, tetapi biasanya kekal dan sukar dipulihkan.

Merespon kenyataan Dedi, Menteri Sosial Indonesia, Saifullah Yusuf memberi amaran sebarang bentuk bantuan tidak boleh dikaitkan secara sewenang-wenangnya dengan syarat perubatan yang menyentuh tubuh individu.

“Kalau sudah menyentuh hak tubuh badan dan kesihatan, perlu dinilai dari pelbagai sudut. Ini bukan isu mudah,” katanya.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) Jawa Barat pula menyifatkan vasektomi sebagai haram dari sudut hukum Islam jika dilakukan secara kekal tanpa keperluan perubatan mendesak.

“Prosedur pemandulan kekal seperti vasektomi tidak dibenarkan kecuali dalam keadaan darurat kesihatan. Ia bukan soal wang, tetapi soal hukum,” kata Pengerusinya, KH Rahmat Syafei.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) turut menyelar cadangan itu yang dianggap mencabuli hak tubuh individu serta meletakkan tekanan kepada kelompok miskin.

“Badan manusia ialah hak mutlak individu. Mengaitkan bantuan dengan prosedur perubatan adalah satu bentuk paksaan halus,” kata pengerusinya, Atnike Nova Sigiro.

Menjawab kritikan bertali arus, Dedi Mulyadi menegaskan cadangan itu bukan satu bentuk paksaan, sebaliknya hanya satu galakan dengan insentif bersifat sukarela.

“Saya cuma mengajak, bukan memaksa. Jika tidak mahu, tiada paksaan. Tapi kita harus berfikir panjang soal masa depan keluarga miskin,” katanya.

Menerusi tinjauan pendapat awam dijalankan media tempatan, majoriti rakyat Indonesia menyifatkan cadangan itu sebagai tidak berperikemanusiaan, menghina kelompok miskin, dan tidak sesuai dilaksanakan di negara berbilang budaya dan agama seperti negara itu.

Rata-rata netizen juga mendakwa Dedi menggunakan isu sensitif itu sebagai “modal politik murahan” menjelang pilihan raya akan datang. — The Merdeka Times

Author