Connect with us

Terkini

Kecam papan tanda larangan homoseksual di Terengganu, Nisha Ayub dibidas Profesor USIM

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar (kanan) & aktivis transgender, Nisha Ayub (kiri)
  • Profesor Perubatan USIM membidas dakwaan aktivis transgender, Nisha Ayub yang mengecam pemasangan papan tanda larangan perbuatan homoseksual berdekatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang disifatkan sebagai satu bentuk sokongan berbahaya terhadap kebencian serta contoh nyata diskriminasi dilakukan pihak berkuasa.
  • Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menegaskan homoseksualiti adalah perbuatan yang dikeji dalam Islam dan pandangan Islam berkenaan perkara tersebut sudah diketahui sejak 1,400 tahun lalu lagi ketika Al-Quran selesai diturunkan.
  • “Oleh itu, dakwaan Nisha Ayub bahawa peringatan tersebut adalah sokongan kepada kebencian tidak berasas.
  • “Homoseksualiti adalah satu perbuatan, justeru peringatan (di papan tanda) itu tidak merujuk secara khusus kepada individu, jadi tiada isu diskriminasi di sini.” — Profesor Dr Rafidah Hanim

KUALA LUMPUR — Seorang Profesor Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membidas dakwaan aktivis transgender, Nisha Ayub yang mengecam pemasangan papan tanda larangan perbuatan homoseksual berdekatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang disifatkan sebagai satu bentuk sokongan berbahaya terhadap kebencian serta contoh nyata diskriminasi dilakukan pihak berkuasa.

Membidas dakwaan itu, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menegaskan homoseksualiti adalah perbuatan yang dikeji dalam Islam dan pandangan Islam berkenaan perkara tersebut sudah diketahui sejak 1,400 tahun lalu lagi ketika Al-Quran selesai diturunkan.

Beliau berkata ayat al-Quran dinyatakan dalam papan tanda itu adalah daripada Surah an-Naml ayat 55, yang diterjemahkan sebagai, “Apakah kamu benar-benar ingin melampiaskan nafsu terhadap lelaki dan bukan perempuan? Tidak, bahkan kamu adalah kaum bertindak bodoh.”

“Oleh itu, dakwaan Nisha Ayub bahawa peringatan tersebut adalah sokongan kepada kebencian tidak berasas.

“Homoseksualiti adalah satu perbuatan, justeru peringatan (di papan tanda) itu tidak merujuk secara khusus kepada individu, jadi tiada isu diskriminasi di sini.

“Homoseksualiti bukanlah identiti yang dapat dilihat secara fizikal.

“Diskriminasi adalah istilah yang sering disalahgunakan dan digunakan secara mudah untuk menuduh dan menyatakan Al-Quran dan kitab-kitab suci lain bersifat diskriminatif, sedangkan pendirian agama mengenai isu ini sudah diketahui sejak sebelum kita dilahirkan,” kata Profesor Dr Rafidah menerusi hantaran berbahasa Inggeris di Facebook hari ini.

Turut disertakan dalam hantaran itu adalah tangkap layar artikel bertajuk “Terengganu varsity unaware of anti-gay signboard outside campus” dan petikan kenyataan Nisha Ayub dalam artikel tersebut.

Aktivis transgender itu semalam dilapor mengecam papan tanda tersebut dengan menyifatkannya sebagai satu bentuk sokongan berbahaya terhadap kebencian serta contoh nyata diskriminasi dilakukan pihak berkuasa.

Nisha berkata papan tanda itu bukan sahaja menguatkuasakan kebencian terhadap kelompok minoriti, tetapi juga secara tersirat menggalakkan buli yang boleh membawa kepada keganasan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Prof Dr Rafidah Hanim.

UMT sebelum ini berkata ia tidak mengetahui mengenai papan tanda yang menghadap pintu masuk dan keluar utama yang memberi amaran terhadap homoseksualiti tersebut.

Papan tanda itu yang dipasang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu baru-baru ini, memaparkan dua simbol lelaki sedang berpegang tangan ‘dibakar’ oleh api dan visual hati yang disilang (tanda larangan), bersama petikan ayat al-Quran. — The Merdeka Times

Author