Connect with us

Terkini

Didakwa ganggu aktiviti baca buku, DBKL tegaskan semua himpunan di Dataran Merdeka perlu kelulusannya

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: DBKL
  • Susulan kes membabitkan satu kumpulan yang mendakwa diganggu polis dan penguatkuasa DBKL semasa aktiviti membaca buku di Dataran Merdeka, DBKL dalam satu kenyataan menegaskan sebarang perhimpunan, termasuk aktiviti untuk tujuan ilmiah di kawasan itu, perlu mendapatkan kelulusan rasminya terlebih dahulu.
  • Menurut kenyataan itu, syarat permohonan berkenaan bukan hendak menyekat penganjuran program bermanfaat, tetapi ia bagi memastikan segala peraturan sedia ada terutama berkaitan kebersihan, keselamatan dan ketenteraman awam dipatuhi.
  • “DBKL mengalu-alukan usaha anak muda serta masyarakat yang ingin menganjurkan aktiviti berasaskan ilmu, pembacaan dan seni jalanan yang mendidik dan membina masyarakat celik ilmu.
  • “Namun, pihak penganjur perlu berhubung dengan DBKL bagi mendapatkan panduan atau kelulusan yang sesuai bagi mengelak salah faham dan memastikan kelancaran program,” katanya dipetik Free Malaysia Today hari ini.

KUALA LUMPUR — Susulan kes membabitkan satu kumpulan yang mendakwa diganggu polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa aktiviti membaca buku di Dataran Merdeka, DBKL dalam satu kenyataan menegaskan sebarang perhimpunan, termasuk aktiviti untuk tujuan ilmiah di kawasan itu, perlu mendapatkan kelulusan rasminya terlebih dahulu.

Menurut kenyataan itu, syarat permohonan berkenaan bukan hendak menyekat penganjuran program bermanfaat, tetapi ia bagi memastikan segala peraturan sedia ada terutama berkaitan kebersihan, keselamatan dan ketenteraman awam dipatuhi.

“DBKL mengalu-alukan usaha anak muda serta masyarakat yang ingin menganjurkan aktiviti berasaskan ilmu, pembacaan dan seni jalanan yang mendidik dan membina masyarakat celik ilmu.

“Namun, pihak penganjur perlu berhubung dengan DBKL bagi mendapatkan panduan atau kelulusan yang sesuai bagi mengelak salah faham dan memastikan kelancaran program,” katanya dipetik Free Malaysia Today hari ini.

Jelas kenyataan itu, permohonan awal juga penting bagi memastikan petugas di lapangan mengetahui aktiviti dijalankan supaya tidak timbul kekeliruan semasa pemantauan rutin dilakukan.

Perkara terbabit katanya penting memandangkan Dataran Merdeka merupakan kawasan ikonik tumpuan pelancong dan sering digunakan untuk acara rasmi serta peringatan sejarah.

Semalam, Federasi Pemuda Kebangsaan dilapor mendakwa berdepan tindakan intimidasi selepas aktiviti diskusi dan budaya membaca diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu diganggu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKL.

Kumpulan itu berkata pada hari kejadian mereka mengadakan aktiviti ‘Diskusi dan Buku Jalanan’ secara santai dan terbuka sebelum didatangi kira-kira lapan hingga 10 anggota penguatkuasa di mana tiga daripadanya berpakaian seragam DBKL, manakala selebihnya berpakaian preman.

Dakwa kumpulan itu, dalam kejadian tersebut seorang pegawai siasatan jenayah dari Balai Polis Dang Wangi bertanyakan sama ada mereka telah menghantar surat pemakluman kepada ketua polis daerah.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya di pihak Federasi Pemuda Kebangsaan, tentang adakah rakyat kini perlu membuat permohonan rasmi untuk menggunakan ruang awam bagi aktiviti membaca dan berdiskusi secara aman.

Sementara itu, kenyataan dikeluarkan DBKL turut mengingatkan penggunaan ruang awam, termasuk Dataran Merdeka adalah tertakluk kepada peraturan ditetapkan bawah perwakilan kuasa DBKL sebagai pentadbir bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya,  aktiviti berkaitan perhimpunan awam juga perlu mendapatkan kelulusan polis, selaras peruntukan Seksyen 63 Akta Kerajaan Tempatan 1976. — The Merdeka Times

Author