Politik
(VIDEO) DAP sambut baik keputusan kerajaan tarik balik garis panduan majlis libat Muslim

- Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui berkata beliau menyambut baik keputusan Kabinet yang menarik balik cadangan menetapkan garis panduan berkenaan dan menyifatkan ia bukan sahaja bertentangan semangat perpaduan negara, malah akan memperdalam jurang antara kaum dan agama di Malaysia.
- “Tidak pernah timbul masalah apabila pemimpin Muslim menghadiri perayaan seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan juga Krismas.
- “Maka mengapa sekarang kita mahu mewujudkan birokrasi tambahan terhadap pihak Muslim yang ingin menghadiri majlis bukan Islam? Ini bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah bercanggah dengan prinsip tolak ansur dan keharmonian yang dipromosikan oleh kerajaan MADANI,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, semalam.
- Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kubang Kerian dari PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan bahawa garis panduan berkenaan hanya terpakai kepada umat Islam dan bertujuan mengelak daripada perkara yang boleh merosakkan akidah dalam perkara berkaitan menghadiri upacara keagamaan (bukan Islam).
- Turut bangkit mencelah, Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan bahawa orang bukan Islam di Malaysia tidak pernah meminta umat Islam membabitkan diri dalam sebarang upacara keagamaan mereka.
- “Jadi itu tak jadi isu. Kenapa jadikan mesti dapat permission sebelum datang? Merumitkan keadaan,” kata Koo Ham.
KUALA LUMPUR — Seorang Ahli Parlimen DAP membangkitkan dan mempertikaikan garis panduan kehadiran umat Islam ke majlis perayaan bukan Islam di Dewan Rakyat semalam hingga mencetuskan ketegangan antara ahli parlimen lain.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata beliau menyambut baik keputusan Kabinet yang menarik balik cadangan menetapkan garis panduan berkenaan dan menyifatkan ia bukan sahaja bertentangan semangat perpaduan negara, malah akan memperdalam jurang antara kaum dan agama di Malaysia.
Menyifatkan juga kelompok bukan Muslim sudah lama mengamalkan sikap bertolak ansur, Yu Hui berkata Malaysia adalah sebuah negara majmuk di mana rakyatnya telah sekian lama mengamalkan sikap saling hormat-menghormati dan bertoleransi antara agama.
“Tidak pernah timbul masalah apabila pemimpin Muslim menghadiri perayaan seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan juga Krismas.
“Maka mengapa sekarang kita mahu mewujudkan birokrasi tambahan terhadap pihak Muslim yang ingin menghadiri majlis bukan Islam? Ini bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah bercanggah dengan prinsip tolak ansur dan keharmonian yang dipromosikan oleh kerajaan MADANI,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, semalam.
Bagaimanapun, perbahasan itu dikejutkan dengan permintaan laluan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian dari PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang awalnya ditolak oleh Yu Hui sebelum akhirnya diberi peluang bersuara.
Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa garis panduan berkenaan hanya terpakai kepada umat Islam dan bertujuan mengelak daripada perkara yang boleh merosakkan akidah dalam perkara berkaitan menghadiri upacara keagamaan (bukan Islam).
“Garis panduan ini untuk orang Islam kerana orang Islam ni dia ada peraturan… Ada perkara yang melibatkan keagamaan yang tak dibenar… Ini bukan (dikeluarkan) oleh parti politik (tetapi) ini telah ditentukan lama dah sebenarnya garis panduan dah ada bukan baru.
“Ini untuk mengelak perkara yang boleh merosakkan akidah orang Islam menghadiri upacara keagamaan, selain pada upacara keagamaan, tak ada masalah,” kata Tuan Ibrahim.
Membalas semula, Yu Hui berkata kelompok bukan Islam sudah lama hidup di tanah air ini dan mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain justeru mereka tidak memerlukan satu garis panduan yang perlu memberitahu apa yang harus dan tidak boleh dibuat dalam hal ini.
Tuan Ibrahim kemudiaannya menegaskan sekali lagi bahawa garis panduan itu dikeluarkan JAKIM dan ia hanya untuk kelompok Muslim bukan untuk bukan Muslim.
Turut bangkit mencelah, Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan bahawa orang bukan Islam di Malaysia tidak pernah meminta umat Islam membabitkan diri dalam sebarang upacara keagamaan mereka.
“Kita tak pernah… Langsung tak pernah minta orang Islam melibatkan diri dalam upacara keagamaan orang bukan Islam.
“Jadi itu tak jadi isu. Kenapa jadikan mesti dapat permission sebelum datang? Merumitkan keadaan,” kata Koo Ham. — The Merdeka Times
