Connect with us

Antarabangsa

Ribuan protes di Israel, Netanyahu pecat Gallant

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu & Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant
  • Tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memecat Menteri Pertahanan, Yoav Gallant pada Selasa mencetuskan protes di Israel dengan ada mengatakan langkah itu boleh membahayakan keselamatan negara kerana Israel akan terus berperang di Gaza dan Lubnan.
  • Selepas pemecatan Gallant yang popular, beribu-ribu rakyat Israel turun ke jalan raya, menghalang jalan raya – termasuk lebuh raya utama antara Tel Aviv dan Baitulmaqdis – dan membakar tayar.
  • Pemimpin pembangkang Israel bertindak balas dengan keras terhadap tindakan Netanyahu, dengan ketua pembangkang Yair Lapid menggelarnya sebagai tindakan gila oleh perdana menteri yang tidak cekap.
  • Netanyahu dilaporkan VOA sebagai berkata dia memecat Gallant kerana dia tidak lagi mempercayainya.

Tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memecat Menteri Pertahanan, Yoav Gallant pada Selasa mencetuskan protes di Israel dengan ada mengatakan langkah itu boleh membahayakan keselamatan negara kerana Israel akan terus berperang di Gaza dan Lubnan, lapor VOA.

Selepas pemecatan Gallant yang popular, beribu-ribu rakyat Israel turun ke jalan raya, menghalang jalan raya – termasuk lebuh raya utama antara Tel Aviv dan Baitulmaqdis – dan membakar tayar.

Polis dilaporkan menggunakan kekerasan untuk mematahkan protes dan menahan berpuluh-puluh orang.

Netanyahu dilaporkan VOA sebagai berkata dia memecat Gallant kerana dia tidak lagi mempercayainya.

Netanyahu berkata kepercayaan penuh diperlukan antara perdana menteri dan menteri pertahanan, terutamanya di tengah-tengah peperangan, dan walaupun kepercayaan itu wujud pada mulanya, ia telah retak.

Gallant berkata beliau tidak bersetuju dengan Netanyahu dalam beberapa isu, termasuk keperluan mewajibkan lelaki Yahudi ultra-Ortodoks berkhidmat dalam tentera (military draft), yang ditentang pihak penting dalam kerajaan gabungan Netanyahu.

Gallant berkata dia percaya setiap orang mencapai umur tertentu wajib berkhidmat dalam tentera Israel dan mempertahankan negara, jadi dia merancang untuk mengundi menentang undang-undang yang dicadangkan untuk mengecualikan secara kekal ultra-Ortodoks daripada perkhidmatan tentera.

Rakan gabungan Netanyahu dalam kerajaan berikrar menjatuhkan kerajaan melainkan undang-undang itu diluluskan.

Netanyahu memecat Gallant dalam usaha untuk mengekalkan gabungannya dan terus berkuasa, kata penganalisis Israel.

Pemimpin pembangkang Israel bertindak balas dengan keras terhadap tindakan Netanyahu, dengan ketua pembangkang Yair Lapid menggelarnya sebagai tindakan gila oleh perdana menteri yang tidak cekap. – The Merdeka Times

Author