Terkini
Kadet “ditekap seterika”: Hentikan segera budaya buli di semua tempat! – PMX
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu budaya buli dihentikan segera di semua tempat, dari sekolah hingga ke universiti, ekoran kes buli “tekap seterika” berulang dilaporkan media, kelmarin.
- “Saya bagi nasihat secara umum pelaku di sekolah, sekolah menengah, mahad tahfiz, sekolah cina.. Semua guru besar, pengetua kolej, naib canselor juga perlu lihat bagaimana nak hentikan budaya (buli) buruk ini.
- “Terlampau banyak complaint… kebetulan (ia) terbongkar di media sosial, ini perlu dihentikan,” kata PMX di Majlis Temu Anwar di Theatrette, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
- The Merdeka Times (TMT) dalam laporan eksklusif kelmarin (30 Okt) dengan memetik sumber mendedahkan kes terbaru seorang pegawai kadet tahun dua di ALK UPNM disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu budaya buli dihentikan segera di semua tempat, dari sekolah hingga ke universiti, ekoran kes buli “tekap seterika” berulang dilaporkan media, kelmarin.
Anwar berkata semua pihak perlu mencari jalan untuk menyelesaikan isu ini yang menerima banyak aduan.
Beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pelaku buli “tekap seterika” di ALK, UPNM.
“Saya bagi nasihat secara umum pelaku di sekolah, sekolah menengah, mahad tahfiz, sekolah cina.. Semua guru besar, pengetua kolej, naib canselor juga perlu lihat bagaimana nak hentikan budaya (buli) buruk ini.
“Terlampau banyak complaint… kebetulan (ia) terbongkar di media sosial, ini perlu dihentikan,” kata PMX di Majlis Temu Anwar di Theatrette, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Anwar ditanya adakah pelaku kes “buli seterika” di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM telah dikenal pasti dan bentuk tindakan ke atas pelaku.
The Merdeka Times (TMT) dalam laporan eksklusif kelmarin (30 Okt) dengan memetik sumber mendedahkan kes terbaru seorang pegawai kadet tahun dua di ALK UPNM disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
TMT yang turut melihat foto mangsa terus menerbitkan berita itu bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku sepertimana kes pada 2017 yang menyaksikan seorang kadet laut UPNM dibuli, dipukul dan ditekap seterika wap berulang-ulang kali pada seluruh badannya hingga mati.
Liputan TMT pada Rabu tular di media sosial dan mendapat perhatian segera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengeluarkan kenyataan media bahawa siasatan sedang dilakukan dan tindakan akan diambil ke atas pelaku, jika terbukti, tanpa sebarang kompromi. — The Merdeka Times