Antarabangsa
Indonesia wajibkan semua produk makanan, import miliki sijil halal
- Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) di bawah Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia secara rasmi menguatkuasakan pensijilan halal wajib mulai 18 Oktober lalu.
- Jakarta Globe melaporkan Peraturan Pemerintah No. 42 Tahun 2024 tentang Pelaksanaan Jaminan Produk Halal itu terpakai untuk semua produk makanan di Indonesia dengan makanan import diwajibkan memiliki sijil halal mulai 2026.
- Ketua BPJPH, Muhammad Aqil Irham berkata kerajaan menyediakan tempoh penyesuaian selama lima tahun untuk perniagaan membuat persediaan bagi proses pensijilan halal, bermula 17 Oktober 2019 hingga 17 Oktober 2024.
- Mandat itu pada mulanya terpakai kepada tiga kategori produk dihasilkan perniagaan sederhana dan besar: makanan dan minuman, bahan mentah dan bahan tambahan makanan, dan produk dan perkhidmatan penyembelihan.
- Perniagaan kecil mengeluarkan produk yang sama dan bagi produk import akan diwajibkan pensijilan halal selepas 17 Oktober 2026.
Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) di bawah Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia secara rasmi menguatkuasakan pensijilan halal wajib mulai 18 Oktober lalu.
Jakarta Globe melaporkan Peraturan Pemerintah No. 42 Tahun 2024 tentang Pelaksanaan Jaminan Produk Halal itu terpakai untuk semua produk makanan di Indonesia dengan makanan import diwajibkan memiliki sijil halal mulai 2026.
Ia bagaimanapun tidak terpakai kepada produk tidak halal, seperti produk yang mengandungi daging babi atau minuman keras.
Ketua BPJPH, Muhammad Aqil Irham berkata kerajaan menyediakan tempoh penyesuaian selama lima tahun untuk perniagaan membuat persediaan bagi proses pensijilan halal, bermula 17 Oktober 2019 hingga 17 Oktober 2024.
Mandat itu pada mulanya terpakai kepada tiga kategori produk dihasilkan perniagaan sederhana dan besar: makanan dan minuman, bahan mentah dan bahan tambahan makanan, dan produk dan perkhidmatan penyembelihan, kata Aqil.
Beliau berkata perniagaan dalam kategori terbabit mesti disahkan sebagai halal selewat-lewatnya pada 18 Oktober 2024.
Jika produk tidak diperakui dan kekal di pasaran, sekatan akan dikenakan, termasuk amaran bertulis atau produk akan dialih keluar.
Bagi perniagaan kecil yang mengeluarkan kategori produk sama, Aqil berkata pihak terbabit mempunyai masa sehingga 17 Oktober 2026 untuk mendapatkan sijil halal.
Bagi produk import, syarat pensijilan halal akan ditentukan Menteri Hal Ehwal Agama selewat-lewatnya pada 17 Oktober 2026 di mana kementerian terbabit kini sedang berbincang dengan negara lain berhubung keperluan itu. – The Merdeka Times