Connect with us

Terkini

UPSR, PT3 wajar dikembalikan – Bekas Menteri Pendidikan

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimansuhkan pada 2022 wajar untuk dikembalikan semula, kata bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
  • “Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan ianya menjadi salah satu komponen yang penting di dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama kita menggunapakainya.
  • “Jadi saya melihat perkara itu ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan itu kerana ianya telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” kata bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
  • Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu dilaporkan berkata dasar pendidikan negara yang ketika ini tidak melaksanakan peperiksaan bagi Tahun 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah perlu dirombak.
  • Ahmad Zahid berkata demikian selepas ia mendapati keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

KUALA LUMPUR — Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimansuhkan pada 2022 wajar untuk dikembalikan semula, kata bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata peperiksaan itu sebelum ini telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.

“Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan ianya menjadi salah satu komponen yang penting di dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama kita menggunapakainya.

“Jadi saya melihat perkara itu ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan itu kerana ianya telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu dilaporkan berkata dasar pendidikan negara yang ketika ini tidak melaksanakan peperiksaan bagi Tahun 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah perlu dirombak.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas ia mendapati keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Menurut BERNAMA, UPSR bagi murid Tahun 6 dan PT3 diumum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 oleh Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Mahdzir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Radzi Jidin ketika itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.

Mahdzir berkata pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan PBD dan PBS telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.

Justeru, beliau melihat saranan Ahmad Zahid itu perlu diambil secara positif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kerana kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon SPM tahun lalu, berpunca daripada masalah 3М.

“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.

“Kaedah pentaksiran tersebut juga saya fikir telah memberi beban tambahan kepada guru-guru kelas,” katanya.

Mahdzir berkata ada kedengaran juga suara-suara ibu bapa tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan PBD dan PBS yang menjejaskan peluang anak-anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Saya juga melihat dari sudut tahap persaingan dan kesungguhan murid Tahun 6 di sekolah rendah dan pelajar di Tingkatan 3 agak berkurangan apabila tidak ada peperiksaan khas seperti UPSR dan PT3 dahulu (sebelum ini) di mana murid dan pelajar berada dalam suasana persaingan dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaan.

“Begitu juga di peringkat ibu bapa yang bersemangat untuk melihat anak-anak mereka berjaya menerusi peperiksaan tersebut dengan memberi lebih perhatian kepada pembelajaran anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan,” kata Mahdzir.

Semalam, KPM dilaporkan melihat secara positif pandangan Ahmad Zahid mengenai dasar pendidikan negara yang tidak melaksanakan peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 selain bersetuju dasar berkenaan perlu dirombak.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata memandangkan tujuan perkara itu adalah untuk menambah baik sistem pendidikan negara, KPM mungkin akan membawanya ke peringkat Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan diputuskan. — The Merdeka Times

Author