Antarabangsa
Hamas berjuang bagi pihak umat Islam, pertahan tanah umat Islam – Erdogan
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu memperbaharui seruannya kepada negara-negara Islam untuk bersatu menghentikan serangan ganas Israel terhadap rakyat Palestin yang berlangsung selama hampir setahun.
- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu memperbaharui seruannya kepada negara-negara Islam untuk bersatu menghentikan serangan ganas Israel terhadap rakyat Palestin yang berlangsung selama hampir setahun.
- Daily Sabah melaporkan Erdogan menegaskan sokongan Turkiye terhadap Hamas yang dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh beberapa negara Barat, tetapi dianggap Ankara sebagai gerakan pembebasan.
- “Hamas sedang berjuang bagi pihak umat Islam. Mereka bukan sahaja mempertahankan Gaza tetapi juga tanah Islam dan Turkiye,” kata Erdogan dipetik Daily Sabah.
- Dalam ucapannya di acara di wilayah barat laut Kocaeli, Erdogan berkata negara-negara Islam seharusnya membentuk pakatan untuk menentang ancaman semakin meningkat dari pentadbiran Netanyahu di Israel.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu memperbaharui seruannya kepada negara-negara Islam untuk bersatu menghentikan serangan ganas Israel terhadap rakyat Palestin yang berlangsung selama hampir setahun.
Daily Sabah melaporkan Erdogan turut menegaskan sokongan Turkiye terhadap Hamas yang dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh beberapa negara Barat, tetapi dianggap Ankara sebagai gerakan pembebasan.
“Hamas sedang berjuang bagi pihak umat Islam. Mereka bukan sahaja mempertahankan Gaza tetapi juga tanah Islam dan Turkiye,” kata Erdogan dipetik Daily Sabah.
Dalam ucapannya di acara di wilayah barat laut Kocaeli, Erdogan berkata negara-negara Islam seharusnya membentuk pakatan untuk menentang ancaman semakin meningkat dari pentadbiran Netanyahu di Israel.
“Ini bukan peperangan antara Israel dan Palestin, tetapi sebaliknya, ia adalah pertempuran antara cita-cita pengembangan zionisme dan umat Islam yang mempertahankan tanah air mereka. Beberapa negara Islam dan sesetengah rakyat di Turkiye melakukan kesilapan besar dengan memejamkan mata terhadap isu ini.
“Satu-satunya langkah yang akan menghentikan keangkuhan Israel, kezaliman Israel dan keganasan negara Israel ialah pakatan negara-negara Islam,” kata Erdogan.
Beliau menekankan menentang keganasan rejim zionis Israel adalah kewajiban dalam Islam selain dianggap sebagai tugasan nasional dan patriotik.
“Semua negara Islam harus mengambil pendirian bersama menentang penjajahan Israel.
“Satu-satunya langkah untuk menghentikan keangkuhan, kezaliman dan keganasan negara Israel ialah pakatan negara-negara Islam,” kata Erdogan.
Konflik berlangsung sejak Oktober tahun lalu itu telah meragut lebih 40,000 nyawa di Gaza dan kawasan Palestin lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan ribuan yang lain. – The Merdeka Times