Connect with us

Kolumnis

Sensitif sangatkah ilmu perbandingan agama?

“Tak payah sibuk tentang agama kami. Tak perlu membanding-bandingkan. Fokus kepada agama kamu (Islam) sahaja”.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

“Tak payah sibuk tentang agama kami. Tak perlu membanding-bandingkan. Fokus kepada agama kamu (Islam) sahaja”.

Seringkali kita mendengar ungkapan sebegini daripada golongan bukan Muslim yang panas telinga apabila pendakwah Muslim berbicara tentang agama mereka. 

Kata-kata mereka itu seakan-akan menampakkan ilmu perbandingan agama ini adalah satu bidang ilmu bermasalah dan ekstrim kerana menyentuh sensitiviti keagamaan yang boleh merosakkan keharmonian. 

Sedangkan, mengulas atau mengkritik tentang agama lain bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia ilmiah, hatta di pentas umum.

Contohnya, dalam pentas dialog antara agama (interfaith dialogue) agamawan atau ilmuwan daripada Kristian, Hindu atau Buddha juga memberi komentar tentang Islam. Ini adalah kebiasaan dalam dunia ilmiah. 

Lebih ironinya, dalam kehidupan seharian juga, ramai bebas menulis dan mengulas tentang agama Islam dengan bermacam-macam stigma dan komen negatif di media sosial. 

Itu juga adalah perbandingan. Penganut agama lain membuat perbandingan dengan Islam. 

Artikel ini bukanlah hendak menekankan sisi double standard yang berlaku. Tetapi lebih hendak menunjukkan bahawa realitinya, budaya perbandingan itu sudah wujud dalam masyarakat majmuk yang berbilang agama. 

Bahkan ia mustahil untuk dihentikan. Memang semulajadinya kita akan mencari perbezaan dan persamaan tentang orang lain, apatah lagi berkaitan agama.  

Namun Islam meletakkan prinsip supaya umatnya tidak melampaui batas dalam membanding-bandingkan agama.

Islam ada prinsip pelajari ilmu perbandingan agama     

Prinsip pertama, mempelajari agama lain dibenarkan bagi seseorang yang mempunyai pemahaman ilmu asas Islam yang kukuh seperti ilmu akidah, ketuhanan (ilahiyyat), kenabian (nubuwwat) dan perkara ghaib (alam akhirat/ghaibiyyat) .  

Apa masalahnya jika belajar perbandingan agama tanpa menguasai prinsip asas Islam yang baik? 

Bagi penulis, ia umpama berpegang pada dahan yang rapuh. Ilmu perbandingan agama bukanlah bidang ilmu yang sesuai dipelajari bagi orang awam yang sedang bergelut dengan kefahaman akidah Islam.

Ini kerana, seseorang akan terdedah dengan sesuatu kepercayaan dan doktrin agama yang luar dan asing daripada kepercayaan agama Islam. 

Tanpa prinsip Islam yang kukuh, ramai yang akan terkeliru dan meragui agama sendiri.  Malah ada yang membenarkan pegangan agama lain sehingga terjerumus dalam lembah pluralisme. 

Prinsip kedua, ilmu perbandingan agama perlu bersifat objektif berasaskan bukti, fakta dan rujukan yang benar.  

Sepertimana Muslim mahu golongan bukan Muslim memahami konteks teks dan kefahaman mengikut keilmuan Islam yang sebenar supaya tidak salah tafsir. Begitu juga pihak bukan Muslim menginginkan yang sama.

Setiap hujah dalam perbandingan agama perlu disertakan bukti rujukan dari kitab suci agama atau komentar dari sarjana agama tersebut yang menepati konteks teks dan kefahaman yang betul. 

Prinsip ini jelas dilihat dalam al-Qur’an yang sering meminta golongan kafir mengemukakan hujah dan bukti daripada kitab suci agama mereka.

“Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan al-Qur’an ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku”. (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.” (Surah Al-Anbiya’ 21:24) 

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”. (Surah Al-Baqarah 2:111) 

Ini bagi memastikan kita dapat berlaku adil dalam setiap hujahan dan penjelasan yang diberikan.

Prinsip ketiga, perlu mencari titik-titik persamaan dan persefahaman antara Islam dan agama-agama lain.

Namun, ‘mencari persamaan’ bukanlah bermaksud kita menyakini semua agama adalah sama sepertimana konsep Pluralisme. 

Tetapi lebih kepada mencari persamaan nilai dan ajaran yang ada dalam Islam dan agama lain sebagai satu permulaan bagi dialog antara agama. Sebagaimana firman Allah: 

“Katakanlah (Muhammad), “Wahai Ahli Kitab! Marilah (kita) menuju kepada satu kalimat (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, bahwa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan bahwa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah (kepada mereka), “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri.” (Surah Ali-Imran 3:64) 

Prinsip keempat, tujuan mempelajari ilmu perbandingan agama adalah untuk mencari kebenaran.

Mempelajari agama-agama lain bukanlah bermaksud kita perlu bersikap neutral sepanjang masa bagi mengelakkan daripada menyinggung perasaan dan bersikap prejudis terhadap agama lain. 

Berdialog tanpa tahu tujuan ‘menyampaikan kebenaran’ akhirnya, diri sendiri yang terkeliru dan keawang-awangan menganggap semua agama adalah sama dan kebenaran agama adalah relatif. 

Sejauh mana ilmu agama-agama lain dipelajari, Muslim perlu tetap berpijak di atas landasan Tauhid dan berpaksikan kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah yang menjadi prinsip pendirian Muslim.

Jadikanlah peringatan al-Qur’an dan sunnah sebagai garis panduan supaya kita tidak tergelincir dalam lembah akidah agama-agama lain. 

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” (Surah Al-Ahzab 33: 36)

Rasulullah SAW bersabda: “Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (yaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.” (HR. Malik. Hadits ini disahihkan oleh Syaikh Salim Al-Hilali di dalam At-Ta’zhim wa Al-Minnah fi Al-Intishar As-Sunnah, hlm. 12-13). 

Dan prinsip terakhir, perbincangan perbandingan agama perlu berhikmah dan tidak sampai menghina agama-agama lain.

Islam amat melarang umatnya menghina agama-agama lain baik patung sembahan, rumah ibadat atau simbol agama mereka dalam menyampaikan kebenaran agama Islam. 

“Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Bukan sekadar tidak boleh menghina, setiap perbincangan perbandingan agama hendaklah disampaikan dengan cara paling berhikmah. Ini adalah prinsip Islam yang jelas.   

Dengan cara itu, kita akan kekal rasional dan objektif agar sebarang penghinaan agama dapat dielakkan. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl 16:125) 

Tidak sewenang-wenangnya Muslim boleh bercakap soal agama-agama lain, namun dalam masa sama, Islam juga tidak bersikap apologetik mahupun pasif menghalang Muslim mempelajari ilmu perbandingan agama. 

Asalkan kita berpegang kepada prinsip-prinsip digariskan agar tindak-tanduk kita tidak menjadi fitnah kepada agama Islam. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *