Kolumnis
Islam mundur kerana tidak berubah?
Negara Malaysia merupakan negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada Muslim, iaitu lebih daripada 60 peratus. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan agama Islam merupakan agama persekutuan.

Negara Malaysia merupakan negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada Muslim, iaitu lebih daripada 60 peratus. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan agama Islam merupakan agama persekutuan.
Tidak dapat dinafikan penduduk berbilang bangsa dan kaum di Malaysia hidup aman dan harmoni secara keseluruhan.
Namun, isu perkauman dan agama kadang-kadang dipermainkan sesetengah kumpulan atau individu yang tidak bertanggungjawab.
Antara contoh yang boleh dilihat adalah ramai golongan bukan Muslim yang mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan hukum-hakam Islam. Tidak kurang juga golongan yang menyifatkan agama Islam sebagai agama yang mundur dan ketinggalan zaman.
Salah satu tuduhan mereka terhadap Islam adalah agama Islam merupakan agama yang mundur kerana masih mengawal pemakaian penganutnya, iaitu tidak boleh berseluar pendek dan perempuan perlu memakai tudung.
Apa yang mereka cuba sampaikan adalah cara pemakaian itu merupakan cara pemakaian zaman dahulu, maka cara pemakaian ini perlu ditinggalkan dan digantikan dengan cara yang lebih moden.
Logik mereka adalah sesuatu yang diamalkan pada zaman dahulu akan dikira mundur jika diamalkan pada zaman sekarang.
Jika kita menggunakan logik yang sama, nilai menghormati ibu bapa juga merupakan nilai yang telah diamalkan sejak dahulu. Adakah nilai ini dikira mundur dan perlu ditinggalkan? Seseorang yang warak mesti akan berkata, tidak.
Jika kita lihat balik pada cara pemakaian zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab pada waktu itu bertelanjang. Kedatangan Islam telah membawa masyarakat Arab ke arah yang lebih bertamadun dan memartabatkan maruah wanita.
Cara pemakaian Barat hari ini yang dikatakan sebagai moden dan menampakkan tubuh badan itu seolah-olah cara pemakaian pada zaman jahiliah. Pemakaian seksi telah dijadikan kayu ukur moden mereka.
Adakah pemakaian gaya Barat yang dikatakan moden hari ini betul-betul moden ataupun hanya membawa manusia balik ke zaman jahiliah? – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
