Terkini
Dasar Ekonomi MADANI perlu masa, kestabilan politik untuk direalisasi – Penganalisis
Kestabilan politik adalah komponen penting bagi memastikan dasar yang telah dirangka Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan secara konsisten seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur.
- Kestabilan politik adalah komponen penting bagi memastikan dasar yang telah dirangka Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan secara konsisten seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur.
- Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan kestabilan politik akan membantu jentera kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang telah dirancang.
- Mengambil contoh dasar Ekonomi MADANI, beliau berkata dasar yang bakal mencorak hala tuju ekonomi negara bagi tempoh jangka sederhana dan panjang itu memerlukan masa untuk dilaksanakan.
- Penganalisis ekonomi daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Rusmawati Said berkata ekonomi bukannya sesuatu yang boleh diubah dengan cepat memandangkan perubahannya perlu melibatkan keseluruhan ekosistem.
- Beliau berkata sebagai contoh untuk menaikkan kadar upah pekerja, ekosistem ekonominya saling berkaitan antara keupayaan kemahiran tenaga kerja dan bahagian sumber manusia.
KUALA LUMPUR: Kestabilan politik adalah komponen penting bagi memastikan dasar yang telah dirangka Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan secara konsisten seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan kestabilan politik akan membantu jentera kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang telah dirancang.
Mengambil contoh dasar Ekonomi MADANI, beliau berkata dasar yang bakal mencorak hala tuju ekonomi negara bagi tempoh jangka sederhana dan panjang itu memerlukan masa untuk dilaksanakan.
“Kestabilan ini penting terutamanya isu berkaitan sumbangan gaji dan upah dalam ekonomi negara yang kini sumbangannya adalah 32 peratus pada tahun 2022 dan dijangka akan dinaikkan kepada 40 peratus (tahun ini), pembangunan semasa, penyertaan wanita dalam sektor ekonomi serta kedudukan defisit fiskal yang rendah.
“Sasaran-sasaran ini bukan mudah untuk dicapai dan ia memerlukan masa untuk dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata sekiranya kestabilan politik dapat dikekalkan, ia mampu memudahkan pelabur dan peniaga untuk membuat keputusan terutama sekali dalam melaksanakan penilaian wajar.
Dalam laporan berita semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi lebih masa untuk meningkatkan ekonomi negara.
Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Rusmawati Said berkata ekonomi bukannya sesuatu yang boleh diubah dengan cepat memandangkan perubahannya perlu melibatkan keseluruhan ekosistem.
Beliau berkata sebagai contoh untuk menaikkan kadar upah pekerja, ekosistem ekonominya saling berkaitan antara keupayaan kemahiran tenaga kerja dan bahagian sumber manusia.
“Ia biasanya bukan hanya melibatkan satu sektor sahaja sebaliknya melibatkan banyak sektor. Dalam ekonomi secara prinsipnya bukan boleh diubah satu sektor dan sektor lain tak diubah. Bukan begitu.
Pandangan saya memang dia (Perdana Menteri) kena ubah banyak sektor dan melibatkan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Cuma ia bergantung kepada sama ada kerajaan proaktif dalam menentukan perancangan itu dijalankan secara teratur,” katanya.
Menurut Rusmawati, mentadbir sebuah negara tidak boleh dilihat sama seperti mentadbir sebuah syarikat memandangkan pentadbiran negara lebih luas perspektifnya.
“Mentadbir negara melibatkan pelbagai sektor dan dalam satu ekosistem, kalau mahu baiki ekonomi negara itu, kena baiki keseluruhan ekosistem. Betul akan ambil masa sikit untuk mengubah ekosistem, tetapi perancangan harus betul,” katanya. – BERNAMA
Sumber: Bernama