Antarabangsa
Isu kelaparan di Haiti, Sahel dan Sudan pada tahap amaran
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mengisytiharkan Haiti, Sahel dan Sudan berada pada tahap amaran tertinggi membabitkan isu kelaparan dan ancaman makanan.
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengisytiharkan Haiti, Sahel dan Sudan berada pada tahap amaran tertinggi membabitkan isu kelaparan dan ancaman makanan.
- Agensi makanan mendesak supaya tindakan segera dilaksanakan dalam mengatasi masalah terbabit khususnya daripada masyarakat antarabangsa.
- Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Program Makanan Sedunia (WFP) berpangkalan di Rom, jumlah itu menambah senarai sedia ada membabitkan Afghanistan, Nigeria, Somalia, Sudan Selatan dan Yaman kekal berada pada tahap amaran tertinggi.
- “Kini Haiti, Sahel, Burkina Faso, Mali dan Sudan menyertai senarai itu.” menurut agensi itu dalam laporan dikeluarkan.
ROM: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mengisytiharkan Haiti, Sahel dan Sudan berada pada tahap amaran tertinggi membabitkan isu kelaparan dan ancaman makanan.
Atas dasar itu, agensi berkaitan makanan mendesak supaya tindakan segera dilaksanakan dalam mengatasi masalah terbabit khususnya daripada masyarakat antarabangsa.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Program Makanan Sedunia (WFP) yang berpangkalan di Rom, jumlah itu menambah senarai sedia ada membabitkan Afghanistan, Nigeria, Somalia, Sudan Selatan dan Yaman yang kekal berada pada tahap amaran tertinggi.
“Kini Haiti, Sahel, Burkina Faso, Mali dan Sudan menyertai senarai itu.
“Perkembangan itu berlaku susulan sekatan ketat ke atas pergerakan orang ramai dan barangan di Burkina Faso, selain serangan kumpulan pejuang di Mali.
“Haiti pula dilanda krisis, sementara Sudan berdepan konflik baru-baru ini, ” menurut agensi itu dalam laporan dikeluarkan.
Menurut FAO dan WFP, masyarakat di semua kawasan terjejas yang berada pada status amaran peringkat tertinggi itu kini bukan sahaja diancam malah sudah mula berdepan isu kebuluran, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada tahap bencana.
Sehubungan itu, katanya, pihak mereka memerlukan perhatian dan bantuan mendesak.
Laporan itu turut menggariskan berhubung risiko kesan krisis Sudan, dengan kemungkinan fenomena El Nino meningkatkan kebimbangan iklim ekstrim di negara rapuh di seluruh dunia.
El Nino membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik.
“Peralihan yang dijangka dalam keadaan iklim semasa akan mempunyai implikasi yang ketara di beberapa lokasi terjejas.
“Ia termasuk jumlah hujan di bawah purata di Koridor Kering Amerika Tengah, dan potensi corak iklim yang ekstrim secara berturut-turut melanda kawasan Sahel dan beberapa kawasan utama di Afrika”, katanya.
Sumber: Berita Harian