Antarabangsa
Klinik kosmetik AS dikecam lakukan pembedahan buang payudara gadis 14 tahun
Sebuah klinik pembedahan kosmetik di Charlotte, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kemarahan orang ramai apabila didapati menjalankan pembedahan buang payudara ke atas gadis seawal usia 14 tahun.

- Sebuah klinik pembedahan kosmetik, The Cosmetic Concierge di Charlotte, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) didapati menjalankan pembedahan buang payudara ke atas gadis seawal usia 14 tahun.
- Perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran Twitter yang berkongsikan tangkap layar gambar beberapa gadis sebelum dan selepas menjalani pembedahan secara ‘sukarela’ itu.
- Pembedahan buang payudara merupakan sebahagian daripada rawatan pengesahan jantina transgender.
Sebuah klinik pembedahan kosmetik di Charlotte, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kemarahan orang ramai apabila didapati menjalankan pembedahan buang payudara ke atas gadis seawal usia 14 tahun.
Memetik laporan Reduxx, perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran Twitter yang berkongsikan tangkap layar dari laman web klinik tersebut, The Cosmetic Concierge.
Ia menunjukkan gambar beberapa gadis sebelum dan selepas menjalani pembedahan secara ‘sukarela’ itu.
Gadis-gadis yang tersenarai sebagai pesakit menjalani pembedahan itu merupakan golongan bawah umur, termasuk paling muda berusia 14 tahun.
Bagaimanapun, gambar-gambar itu telah dialih keluar dari laman sesawang klinik tersebut.
Pembedahan buang payudara merupakan sebahagian daripada rawatan pengesahan jantina transgender.
Menurut maklumat di laman sesawang klinik itu, prosedur pengesahan jantina bagi pesakit di bawah 18 tahun memerlukan persetujuan ibu bapa atau penjaga serta pengesyoran ahli terapi.
Namun borang menjalani pembedahan itu membenarkan pesakit mengisytiharkan umur tanpa memerlukan sebarang pengesahan.
Pakar bedah di sebalik prosedur itu ialah bekas doktor tentera udara Hope Sherie, yang kepakarannya kini berpaksi ke arah pembedahan ubah jantina.
Melalui kliniknya, Hope menaja sebuah organisasi bukan keuntungan yang menyediakan bantuan kewangan kepada belia transgender, Point of Pride.
Organisasi itu juga menawarkan pengikat percuma kepada gadis muda dan dengan jelas menyatakan tiada syarat umur untuk mengisi borang dan memohon pakaian pemampatan payudara.
Sumber: Reduxx

You must be logged in to post a comment Login