Antarabangsa
ICRC tutup pejabat di Gaza & Tebing Barat atas faktor kewangan
Jawatankuasa Antarabangsa bagi Palang Merah (ICRC) mengumumkan penutupan dua pejabatnya di bandar Khan Younis, Gaza dan bandar Jericho di Tebing Barat yang diduduki, atas faktor kewangan.
- Jawatankuasa Antarabangsa bagi Palang Merah (ICRC) mengumumkan penutupan dua pejabat di bandar Khan Younis, Gaza dan bandar Jericho di Tebing Barat atas faktor kewangan.
- ICRC berkata pengurangan peruntukan bajet untuk bantuan kemanusiaan menjejaskan kerja-kerja jawatankuasa itu dalam tempoh dua tahun akan datang.
- Atas sebab itu, ICRC memutuskan mengurangkan kos operasi, termasuk menutup pejabat dan memberhentikan kakitangan supaya tahap sokongan serta kadar bantuan masih kekal disalurkan kepada kawasan sasaran.
- “ICRC akan terus menawarkan perkhidmatan di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Israel, termasuk bekerja dengan tahanan dan keluarga mereka serta keluarga yang terjejas keganasan serta konflik”. – ICRC.
RAMALLAH – Jawatankuasa Antarabangsa bagi Palang Merah (ICRC) mengumumkan penutupan dua pejabatnya di bandar Khan Younis, Gaza dan bandar Jericho di Tebing Barat yang diduduki, atas faktor kewangan.
Dalam satu kenyataan, ICRC berkata, pengurangan peruntukan bajet untuk bantuan kemanusiaan akan menjejaskan kerja-kerja jawatankuasa itu dalam tempoh dua tahun akan datang.
Atas sebab itu, ICRC memutuskan untuk mengurangkan kos operasi, termasuk menutup pejabat dan memberhentikan kakitangan supaya tahap sokongan serta kadar bantuan masih kekal disalurkan kepada kawasan sasaran.
Katanya, keputusan terbaharu itu turut membabitkan penutupan pejabat di Khan Younis dan Jericho serta memberhentikan 24 pekerjanya.
“ICRC akan terus menawarkan perkhidmatan di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Israel, termasuk bekerja dengan tahanan dan keluarga mereka serta keluarga yang terjejas keganasan serta konflik.
“Jawatankuasa ini juga akan terus memantau Bulan Sabit Merah Palestin pada tempoh berjaga-jaga dan kecemasan,” katanya.
Ketua Delegasi ICRC, Alessandra Menegon berkata, pihaknya akan terus komited terhadap semua komuniti yang mengalami konflik dan pendudukan sejak 1967 melalui kerja-kerja mengukuhkan perlindungan awam.
Sumber: Ismaweb