Terkini
KPKM akui negara masih perlukan sumber makanan import
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengakui negara masih perlu bergantung kepada sumber makanan diimport.

- Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin, berkata ada komoditi makanan tidak dihasilkan secara domestik berikutan faktor iklim, tidak ekonomik serta kekurangan sumber dana dan tenaga kerja.
- Katanya, KPKM turut meninjau peluang mempelbagaikan sumber import bagi mengurangkan pendedahan risiko terhadap sesuatu negara pembekal.
- “KPKM akan memperkukuh industri input pertanian domestik secara bersasar bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber import yang mempengaruhi kos pengeluaran dan kenaikan harga makanan,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah KPKM untuk memastikan ketersediaan kapasiti bekalan makanan negara pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengakui negara masih perlu bergantung kepada sumber makanan diimport.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin, berkata ada komoditi makanan tidak dihasilkan secara domestik berikutan faktor iklim, tidak ekonomik serta kekurangan sumber dana dan tenaga kerja.
Katanya, KPKM turut meninjau peluang mempelbagaikan sumber import bagi mengurangkan pendedahan risiko terhadap sesuatu negara pembekal.
“KPKM akan memperkukuh industri input pertanian domestik secara bersasar bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber import yang mempengaruhi kos pengeluaran dan kenaikan harga makanan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah KPKM untuk memastikan ketersediaan kapasiti bekalan makanan negara pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Menjawab soalan lain, Foong Hin berkata, Dana Jaminan Makanan (DJM) ditawarkan kepada nelayan di Zon A, B dan C yang mahu beralih ke Zon C2, iaitu laut dalam serta C3 (laut lepas atau Lautan Hindi).
Katanya, DJM yang berbentuk pinjaman itu ditawarkan melalui program modenisasi kapal dan mekanisasi tangkapan dengan RM136 juta sudah diagih kepada 425 penerima di seluruh negara.
“Program ini dapat memberi peluang kepada nelayan di Zon A, B menerokai kawasan perairan baharu,” katanya menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai peluang menaik taraf lesen nelayan.
Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang), Foong Hin berkata, pengeluaran lesen baharu bagi vesel nelayan Zon A, B dan C dibekukan sejak 1982.
Tindakan itu, katanya, berpunca akibat bilangan vesel dilesenkan melebihi daya tampung sumber perikanan pantai.
“Namun KPKM melalui Jabatan Perikanan sentiasa melaksanakan proses pemutihan membabitkan lesen yang dibatalkan akan dibuka untuk permohonan.
“Bagaimanapun, nelayan masih berpeluang mendapatkan lesen menangkap ikan bagi Zon C2 dan Zon C3,” katanya.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login