Antarabangsa
FDA saring kelompok gay, biseksual derma darah
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat bakal melakukan saringan bagi kelompok gay dan biseksual untuk menampung bekalan darah yang semakin berkurangan.

- FDA bakal melakukan saringan bagi kelompok gay dan biseksual untuk menampung bekalan darah yang semakin berkurangan di Amerika Syarikat.
- Jurucakap FDA berkata agensi itu akan melakukan penilaian risiko terhadap gay yang melakukan hubungan seks dalam tempoh tiga bulan sebelumnya.
- “Pada 2015, lelaki gay dan biseksual dibenarkan menderma jika mereka tidak melakukan hubungan seksual pada tahun sebelumnya,” katanya.
- Pendekatan baharu itu bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara aktivis yang tidak mahu sekatan pendermaan darah dalam kalangan lelaki gay dan biseksual serta bank darah yang ingin menghapuskan risiko penerima darah mendapat jangkitan HIV.
AMERIKA SYARIKAT – Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat bakal melakukan saringan bagi kelompok gay dan biseksual untuk menampung bekalan darah yang semakin berkurangan.
Jurucakap FDA berkata agensi itu akan melakukan penilaian risiko untuk menggantikan larangan semasa ke atas lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki dalam tempoh tiga bulan sebelumnya.
“Sudah lama FDA tidak menggalakkan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki daripada menderma darah.
“Larangan mula dilaksanakan sekitar tahun 1980-an, ketika wabak HIV sedang menular ketika itu.
“Pada 2015, lelaki gay dan biseksual dibenarkan menderma jika mereka tidak melakukan hubungan seksual pada tahun sebelumnya,” katanya seperti dipetik New York Times.
Beliau berkata ketetapan baharu itu memerlukan gay yang melakukan hubungan seks untuk mengisi soal selidik mengenai penggunaan kondom dan aktiviti seksual.
“Ia masih dalam perbincangan, bagi yang tidak bertukar pasangan dalam tempoh tiga bulan lalu dibolehkan untuk menderma darah,” katanya.
Pendekatan baharu itu bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara aktivis yang tidak mahu sekatan pendermaan darah dalam kalangan lelaki gay dan biseksual serta bank darah yang ingin menghapuskan risiko penerima darah mendapat jangkitan HIV.
Naib Presiden Hal Ehwal Saintifik untuk Palang Merah Amerika, Susan Stramer pula berkata kajian itu bertujuan “untuk menjadikan proses pendermaan darah lebih inklusif sambil mengekalkan keselamatan bekalan darah”.
“Walaupun kami belum dimaklumkan oleh FDA mengenai perubahan dasar pada masa ini, Palang Merah berharap agar pada masa akan datang kelayakan derma tidak berdasarkan orientasi seksual, dan lebih ramai individu yang sihat boleh memberikan darah untuk membantu pesakit yang memerlukan,” katanya.
Terbaru, kira-kira satu perempat atau 16 daripada Pusat Darah Amerika mempunyai bekalan kurang daripada sehari.
Sumber: New York Times

You must be logged in to post a comment Login