Terkini
3M belum dikuasai namun sibuk dengan silibus aras tinggi?
Kritikan terhadap silibus pelajaran di peringkat sekolah rendah sudah lama diperkatakan dalam kalangan ibu bapa mahupun pendidik sendiri bahkan ada di antara mereka menyifatkan silibus tersebut sebagai ‘merapu’.
Kritikan terhadap silibus pelajaran di peringkat sekolah rendah sudah lama diperkatakan dalam kalangan ibu bapa mahupun pendidik sendiri bahkan ada di antara mereka menyifatkan silibus tersebut sebagai ‘merapu’.
Bulan ini juga kita dihangatkan dengan kisah perjuangan Cikgu Mohd Fadli Salleh yang hampir dibuang kerja gara-gara lantang menyuarakan masalah sistem pendidikan negara khususnya silibus pendidikan sekolah rendah yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk murid.
Rungutan dan ketidaksenangan ini ekoran konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dulu diperkenalkan di peringkat menengah kini diturunkan ke peringkat sekolah rendah, sekali gus menyaksikan tahap pendidikan kita “semakin tinggi” dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan setaraf negara maju.
Namun Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2020 mengesahkan berlaku keciciran pembelajaran besar di seluruh dunia akibat pandemik, di mana Malaysia juga tidak terkecuali dan dilihat kurang berjaya dalam menguruskan pemulihan pendidikan.
Lebih membimbangkan apabila masih ramai juga murid prasekolah yang bakal menjejakkan kaki ke tahun satu gagal menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Dianggarkan juga 20 peratus murid tahap satu daripada sejumlah 131,281 murid di Johor dikesan gagal menguasai kemahiran 3M berikutan penutupan sekolah akibat penularan pandemik COVID-19 secara berterusan.
Melihat kepada situasi ini, bayangkan bagaimana pula murid ini perlu berhadapan dengan silibus yang tinggi dan disifatkan membebankan pelajar.
Malah, terdapat seorang wanita mengatakan ingin sahaja bakar ijazah bidang Matematik dipegang gara-gara gagal menjawab soalan Matematik bagi anaknya yang berada di darjah satu.
Bagaimana mereka yang baru ingin mengenal alam persekolahan ini, boleh merasa seronok untuk datang ke sekolah seterusnya membesar sebagai warganegara yang bijak, berjiwa insani, kritis lagi kreatif jika lalui semua ini?
Justeru perlu diingatkan dalam keghairahan mengejar perubahan pendidikan setanding negara maju, kita jangan terlepas pandang untuk mempertingkatkan kemahiran 3M murid-murid tahap satu sekolah rendah terlebih dahulu dan melihat kepincangan yang ada.
Malah, Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Roslizam Hassan menjelaskan bahawa kebimbangan terhadap kemungkinan sistem pendidikan negara ketinggalan berbanding negara lain akibat menurunkan silibus tidak sepatutnya timbul kerana tahap pendidikan negara kini adalah tidak jauh berbeza.
“Saya melihat silibus digunakan di negara lain tidak terlalu tinggi berbanding Malaysia. Kalau ada yang tinggi sedikit pun, bilangan subjek mereka sangat rendah berbanding dengan kita yang ada mencecah berbelas subjek,” jelas beliau.
Jelasnya, penggunaan silibus terlalu tinggi hanya akan menyebabkan murid takut untuk belajar dan seterusnya menjejaskan proses pembelajaran mereka.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan juga meluahkan kebimbangan jika silibus kini tidak diteliti segera ia dikhuatiri menyebabkan murid mempunyai perasaan berputus asa untuk teruskan pelajaran dan mengambil keputusan tak mahu bersekolah.
Sekaligus, ia akan menyebabkan lebih banyak masalah sosial.
Katanya, sekolah rendah di negara barat lebih menitikberatkan hal seperti komunikasi, adab dan tata susila dalam kalangan murid disebabkan ia praktikal bagi menyediakan golongan tersebut dengan silibus lebih berat.
Menjawab rungutan yang menginginkan silibus tinggi tersebut digubal semula, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengatakan bahawa silibus tidak boleh ditukar secara kerap kerana ia akan menyukarkan guru dan murid untuk sesuaikan diri dengan silibus baharu.
Menurutnya, silibus diperkenalkan pada 2017 itu akan melalui penilaian semula selepas tamat satu pusingan di mana ia dikatakan akan tamat pada tahun ini bagi sekolah rendah.
Bagaimanapun Pakar Pendidikan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad kurang setuju jika silibus perlu direndahkan sebaliknya dia mencadangkan agar silibus difleksibelkan mengikut kesesuaian pelajar dan orang yang berhak membuat keputusan bagi menentukannya adalah guru.
Pada masa sama, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula berpandangan sistem pendidikan negara tidak boleh terus berada di takuk lama dengan masih mengekalkan silibus sebagaimana di tahun 1980an.
Laporan Awal Pelan Pembangunan Malaysia 2013-2015 menunjukkan perbandingan di antara sistem pendidikan kita dengan antarabangsa menyaksikan prestasi Malaysia dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) telah menurun antara tahun 1999 dan tahun 2007.
Hanya dua hingga tiga peratus murid Malaysia mencapai tanda aras tertinggi, seperti penyelesaian masalah kompleks; berbanding dengan lebih 30 peratus murid di Singapura mencapai skor pada tahap lanjutan dalam Matematik dan Sains.
Justeru dalam melahirkan generasi masa depan Malaysia yang seimbang serta menguasai kemahiran abad ke-21 iaitu dapat menguasai kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif serta mampu untuk bersaing di peringkat global KPM memberi penekanan terhadap KBAT dalam sistem persekolahan. – The Merdeka Times