Antarabangsa
Tembak mati Shireen Abu Akleh : tentera rejim Israel mengaku, PM nafi
Perdana Menteri Israel, Yair Lapid pada Rabu menolak cadangan untuk mendakwa seorang askar rejimnya yang berkemungkinan menembak mati wartawan Palestin-Amerika Syarikat (AS), Shireen Abu Akleh semasa operasi tentera dilakukan pada tahun ini.
- Perdana Menteri Israel, Yair Lapid menolak cadangan bahawa seorang askar rejimnya berkemungkinan menembak mati wartawan Shireen Abu Akleh.
- Pengakuan itu dibuat selepas beberapa bulan tentera Israel menegaskan adalah mustahil untuk menentukan punca kematian wartawan itu.
- “Saya tidak akan membenarkan seorang askar IDF (Pasukan Pertahanan Israel) yang melindungi dirinya daripada tembakan untuk didakwa hanya untuk menerima tepukan dari luar negara,” – Perdana Menteri Israel.
BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Yair Lapid pada Rabu menolak cadangan untuk mendakwa seorang askar rejimnya yang berkemungkinan menembak mati wartawan Palestin-Amerika Syarikat (AS), Shireen Abu Akleh semasa operasi tentera dilakukan pada tahun ini.
Wartawan veteran Al Jazeera itu memakai jaket kalis peluru bertanda ‘Press’ dan topi keledar apabila dia ditembak di kepala semasa operasi tentera Israel di kem pelarian Jenin, di Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis pada Mei lalu.
Tentera Israel mengaku pada Isnin buat pertama kali bahawa salah seorang askarnya berkemungkinan telah menembak Shireen, 51, selepas dia disalah anggap sebagai pejuang Palestin pada 11 Mei lalu.
Pengakuan itu dibuat selepas beberapa bulan yang mana tentera Israel menegaskan adalah mustahil untuk menentukan punca tembakan maut yang membunuh wartawan terkenal Al Jazeera itu.
Sebaliknya, tentera rejim Zionis itu mendakwa dia meninggal dunia mungkin terkena tembakan pejuang Palestin.
“Saya tidak akan membenarkan seorang askar IDF (Pasukan Pertahanan Israel) yang melindungi dirinya daripada tembakan untuk didakwa hanya untuk menerima tepukan dari luar negara,” kata Lapid dalam satu majlis ketenteraan seperti dilaporkan oleh AFP.
Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyimpulkan pada Jun lalu bahawa tiada bukti terdapat aktiviti dilakukan penduduk Palestin bersenjata di kawasan berdekatan tempat Shireen mati ditembak.
Keluarga wartawan itu berkata bahawa Israel enggan bertanggungjawab dalam kejadian tersebut. – Agensi
Sumber: Sinar Harian