Terkini
Pembangkang gagal menentang penguatkuasaan Sosma
Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma, diluluskan Dewan Rakyat bagi dilanjutkan penguatkuasaannya selama lima tahun lagi biarpun mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.

- Sosma dilanjutkan penguatkuasaannya selama lima tahun lagi biarpun mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.
- Keputusan undian menunjukkan seramai 111 ahli parlimen menyokong, 88 menentang, manakala 21 tidak hadir.
- Usul lanjutan tidak diluluskan 23 Mac lalu kerana didapati wujud peruntukan dan klausa yang tidak adil.
- “Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menambah baik Sosma” – Hamzah Zainuddin
Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma, diluluskan Dewan Rakyat bagi dilanjutkan penguatkuasaannya selama lima tahun lagi biarpun mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.
Mencatatkan keputusan undian seramai 111 ahli parlimen mengundi sokong, 88 mengundi tentang, manakala 21 ahli tidak hadir semasa undi belah bahagi.
Dengan penguatkuasaan tersebut, polis akan mempunyai kuasa khas bagi menahan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah akta itu sehingga 28 hari.
Usul lanjutan Subseksyen 4(5) akta itu tidak diluluskan ketika dibentang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu. Undi belah bahagian lanjutan itu, mencatatkan 85 bersetuju dan 86 lagi tidak bersetuju.
Ini kerana Akta itu didapati wujud peruntukan dan klausa yang tidak adil oleh ahli parlimen kerajaan, pembangkang dan turut dipersetujui oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.
Menurutnya, klausa tamat tempoh (sunset clause) perlu ada untuk kerajaan menyemak semula undang-undang setiap lima tahun.
Selain itu, beliau turut mengakui bahawa Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen harus dikeluarkan daripada Sosma.
Hamzah Zainuddin berkata, “saya setuju cadangan (ahli parlimen) Padang Rengas (Nazri Aziz) tadi. Begitu juga beberapa seksyen yang dibangkitkan seperti 124B, aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen, itu tak payah kita adakan,”
Sebelum ini, kerajaan pernah digesa oleh Nazri Aziz untuk mengeluarkan Seksyen 124(b) hingga (j) Kanun Keseksaan dari Sosma atas sebab ia boleh mendedahkan ahli politik kepada tindakan undang-undang.
Menurut Hamzah, ada keperluan mendesak supaya Sosma dilanjutkan sehingga 2027 manakala pindaannya boleh dibuat kemudian. Sosma akan tamat tempoh pada 31 Julai pada ketika itu.
Ahli parlimen pembangkang, Gobind Singh Deo (Harapan-Puchong), tidak senang dengan kenyataan Hamzah itu. Beliau berpendapat bahawa kerajaan mempunyai banyak masa untuk memperkemaskan Sosma.
Menurut Gobind, kabinet yang diketuai Dr Mahathir Mohamad pada 29 Nov 2019, bersetuju untuk membuat pindaan kepada Sosma.
“Mereka nak buat pindaan, tak ada di situ nak kata nak hapuskan sosma,” jelas Gobind.
Menurut Hamzah kerajaan pada masa ini memerlukan lebih banyak masa untuk melaksanakan apa yang diputuskan kabinet pada 2019 kerana ia perlu melibatkan pihak berkepentingan termasuk polis.
Tambah beliau, jika usul tersebut tidak ditolak di Dewan Ogos pada Mac lalu, kerajaan akan meneruskan usaha untuk menambah baik Sosma.
“Kita mungkin melihat pindaan Sosma pada persidangan Oktober,” jelas Hamzah.
Pada 23 Mac lalu, Dewan Rakyat menolak usul untuk melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul membatalkan keputusan berkenaan pada Rabu lalu.
Sumber: Malaysiakini

You must be logged in to post a comment Login