Ekonomi
Pulau Pinang ketiga tertinggi pemegang sijil halal di belakang Selangor, Johor

- Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata 870 syarikat di Pulau Pinang berdaftar dan memiliki sijil halal aktif merangkumi pelbagai sektor, termasuk makanan serta minuman, farmaseutikal, kosmetik, barangan pengguna, rumah sembelihan, logistik dan peranti perubatan setakat April lalu.
- “Pencapaian ini hasil komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan industri halal melalui transformasi tadbir urus dan peningkatan kecekapan sistem pensijilan.
- “Kerajaan negeri menambah kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan Halal Negeri kepada dua kali sebulan bagi mempercepatkan proses kelulusan dan menangani isu berkaitan pensijilan dengan lebih tuntas,” katanya dipetik Berita Harian pada Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) semalam.
KUALA LUMPUR — Pulau Pinang di kedudukan ketiga tertinggi dalam jumlah pemegang Sijil Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) di belakang Selangor dan Johor.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata 870 syarikat di Pulau Pinang berdaftar dan memiliki sijil halal aktif merangkumi pelbagai sektor, termasuk makanan serta minuman, farmaseutikal, kosmetik, barangan pengguna, rumah sembelihan, logistik dan peranti perubatan setakat April lalu.
“Pencapaian ini hasil komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan industri halal melalui transformasi tadbir urus dan peningkatan kecekapan sistem pensijilan.
“Kerajaan negeri menambah kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan Halal Negeri kepada dua kali sebulan bagi mempercepatkan proses kelulusan dan menangani isu berkaitan pensijilan dengan lebih tuntas,” katanya dipetik Berita Harian pada Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) semalam.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan Pulau Pinang negeri pertama menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri sebagai langkah membentuk ekosistem halal lebih sistematik dan berdaya saing.
Mohamad berkata pelancaran MPIHPP bukan sekadar simbolik, malah memperlihatkan komitmen kerajaan negeri membina ekosistem halal menyeluruh daripada peringkat pengeluaran, pengedaran sehingga sampai ke tangan pengguna akhir.
“Kerajaan negeri komited menyediakan prasarana kondusif, dasar mesra pelabur serta sokongan teknikal dan latihan kepada semua pemain industri bagi memastikan ekosistem halal berkembang pesat.
“Kerajaan negeri juga berhasrat meningkatkan bilangan pemegang sijil halal dalam kalangan usahawan Bumiputera secara lebih signifikan kerana SPHM membolehkan mereka bersaing secara kompetitif di peringkat global, sekali gus meningkatkan sosioekonomi komuniti tersebut,” katanya.
Malaysia dilapor menerajui industri halal dunia dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada tahun lalu, peningkatan 15 peratus berbanding 2023 dan mengekalkan kedudukan di tangga teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut. — The Merdeka Times
