Terkini
Masih ada rumah ibadat atas tanah kerajaan di Perak ingkar arahan hentikan kerja pembinaan

- Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak yang telah memuktamadkan garis panduan itu, pada Isnin.
- ADUN Teja itu juga menegaskan kesemua 14 rumah ibadat dalam gua yang berada di atas tanah kerajaan telah dimaklumkan secara rasmi supaya tidak menjalankan sebarang kerja pembinaan, sementara jawatankuasa memuktamadkan garis panduan.
- Bagaimanapun, katanya laporan terkini mendapati masih ada yang melanggar arahan tersebut.
- “Tindakan lanjut akan diambil berdasarkan undang-undang demi menjamin keselamatan awam,” katanya.
KUALA LUMPUR — Masih ada rumah ibadat atas tanah kerajaan di Perak ingkar arahan untuk menghentikan kerja pembinaan, walaupun sudah diberi peringatan secara rasmi, sementara Garis Panduan Pembangunan dan Keselamatan Rumah Ibadat dalam Gua dimuktamadkan.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak yang telah memuktamadkan garis panduan itu, pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja itu juga menegaskan kesemua 14 rumah ibadat dalam gua yang berada di atas tanah kerajaan telah dimaklumkan secara rasmi supaya tidak menjalankan sebarang kerja pembinaan, sementara jawatankuasa memuktamadkan garis panduan.
Bagaimanapun, katanya laporan terkini mendapati masih ada yang melanggar arahan tersebut.
“Tindakan lanjut akan diambil berdasarkan undang-undang demi menjamin keselamatan awam.
“Kerajaan Negeri Perak menghormati kebebasan beragama, namun prinsip keselamatan dan kedaulatan undang-undang tetap harus diutamakan,” kata Sandrea menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, garis panduan berstruktur itu bagi membolehkan rumah-rumah ibadat di kawasan gua yang sebelum ini beroperasi tanpa rujukan dasar yang jelas, memohon secara sah dan mematuhi peraturan keselamatan serta prinsip pembangunan mampan ditetapkan.
Ia sekali gus menggariskan prosedur permohonan, syarat teknikal keselamatan serta tanggungjawab pematuhan oleh pihak berkaitan.
“Kerangka ini bukan sahaja membuka laluan pematuhan bagi rumah ibadat dalam gua sedia ada, malah menyediakan rujukan jelas untuk sebarang pembangunan pada masa hadapan,” katanya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Sandrea Ng.
Media sebelum ini melaporkan pernah berlaku insiden tanah runtuh di kawasan rumah ibadat di sekitar Ipoh, termasuk runtuhan Gunung Cheroh pada Oktober 1973 dan di Tokong Perak Tong pada Januari 2009, yang mengorbankan puluhan nyawa dan mencederakan ramai lagi.
Perak khususnya di Ipoh dilapor mempunyai banyak rumah ibadat di dalam gua yang kebanyakannya wujud sejak sebelum era kemerdekaan dan turut menjadi lokasi tumpuan pelancongan.
Kuil Sam Poh Tong (juga dikenali sebagai Gua Tiga Buddha) ialah kuil Cina yang dibina dalam gua batu kapur dan merupakan kuil gua tertua dan utama di Ipoh. Berdekatan kuil itu yang juga di dalam gua ialah Ling Sen Tong Temple dan Gua Guanyin. –The Merdeka Times
