Antarabangsa
Trump sindir negara Arab: “Tanpa AS, mereka mungkin tidak wujud”

- Trump dilapor menjawab pertanyaan wartawan mengenai tawaran Qatar untuk menggantikan pesawat Air Force One dengan sebuah jet jumbo mewah Boeing 747 bernilai $400 juta.
- “Dan saya rasa itu adalah satu isyarat penghargaan, kerana kita telah banyak membantu semua negara tersebut — Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan yang lain-lain.
- “Kita yang menjaga keselamatan mereka. Jika bukan kerana kita, mereka mungkin tidak akan wujud pun sekarang,” jelas Trump.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyindir pergantungan beberapa negara Arab, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Qatar terhadap perlindungan yang diberi Amerika Syarikat dan mendakwa bahawa keselamatan negara-negara ini hanya terjamin kerana sokongan Washington.
Malah, beliau dengan sinis menyatakan bahawa tanpa bantuan AS, mereka mungkin tidak akan wujud.
Kenyataan itu dikeluarkan Trump dalam satu sidang media di Rumah Putih sebelum berlepas ke Timur Tengah.
Wartawan ketika itu dilapor bertanyakan mengenai tawaran Qatar untuk menggantikan pesawat Air Force One dengan sebuah jet jumbo mewah Boeing 747 bernilai $400 juta.
Menurut Trump, jet jumbo dari Qatar itu bukanlah hadiah peribadi kepadanya, tetapi sumbangan kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, sebagai pengiktirafan terhadap peranan negara itu dalam menjaga keselamatan serantau.
“Maksud saya, saya boleh jadi orang yang bodoh dan kata tak mengapa, kami tak mahu kapal terbang yang sangat mahal dan percuma itu.
“Dan saya rasa itu adalah satu isyarat penghargaan, kerana kita telah banyak membantu semua negara tersebut — Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan yang lain-lain.
“Kita yang menjaga keselamatan mereka. Jika bukan kerana kita, mereka mungkin tidak akan wujud pun sekarang,” jelas Trump.
Trump dijadualkan mengunjungi Arab Saudi, Qatar, dan UAE. Tawaran ini dianggap antara hadiah asing terbesar yang pernah diterima kerajaan AS dan menimbulkan persoalan dari segi etika dan undang-undang.
Trump menjelaskan bahawa pesawat-pesawat Air Force One sedia ada adalah lama dan menelan kos penyelenggaraan yang tinggi. Tambahan pula, pesawat baharu yang dipesan daripada Boeing mengalami kelewatan penghantaran. -The Merdeka Times
