Terkini
Dua pelajar China didakwa tipu ibu dengan lakonan diculik, tuntut RM2.9 juta

- Dua pelajar warga China dari Universiti Nasional Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan menipu ibu salah seorang daripada mereka dengan membuat lakonan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan RM2.9 juta.
- Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18 didakwa menipu ibu Ye iaitu Cheng Zhiwen dengan membuat panggilan dan menunjukkan video Ye diculik, badannya dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup pita pelekat berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang air.
- Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman antara 11.44 pagi hingga 9.15 malam, 2 Mei lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun sama.
- Seksyen 420 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, manakala Seksyen 511 berdepan hukuman penjara tidak lebih setengah daripada tempoh paling lama diperuntukkan di bawah Seksyen 420, jika sabit kesalahan.
KUALA LUMPUR — Dua pelajar warga China dari Universiti Nasional Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menipu ibu salah seorang daripada mereka dengan membuat lakonan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan RM2.9 juta.
Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18 didakwa menipu ibu Ye iaitu Cheng Zhiwen dengan membuat panggilan dan menunjukkan video Ye diculik, badannya dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup pita pelekat berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang air.
Tertuduh kemudian membuat ugutan dan pemerasan meminta Cheng memasukkan duit tebusan lima juta Yuan (bersamaan RM2.9 juta) ke satu akaun di China di mana kesemua perbuatan itu ialah lakonan bagi mendorong Cheng menyerahkan wang berkenaan, lapor media tempatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, antara 11.44 pagi hingga 9.15 malam, 2 Mei lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen 420 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, manakala Seksyen 511 berdepan hukuman penjara tidak lebih setengah daripada tempoh paling lama diperuntukkan di bawah Seksyen 420, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua pelajar lelaki terbabit juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan berhubung kesalahan sama mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Azrul Darus membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta memerintahkan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan kes ditetapkan pada 27 Mei ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Radzuan manakala Zhang dan Ye diwakili peguam Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar.. — The Merdeka Times
