Antarabangsa
PBB peringati ulang tahun Nakba, China seru pelaksanaan “Penyelesaian Dua Negara”

- Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang berkata demikian semasa berucap pada sesi memperingati ulang tahun ke-77 peristiwa Nakba yang diadakan PBB pada Khamis.
- “Tujuh puluh tujuh tahun lepas, lebih separuh rakyat Palestin diusir atau terpaksa meninggalkan kampung mereka semasa perang Arab-Israel, dan sejak itulah perjuangan mereka untuk mendapatkan semula hak dan kepentingan sah pun bermula.
- “Hari ini, 77 tahun kemudian, ketidakadilan bersejarah yang dialami rakyat Palestin bukan sahaja tidak dapat dibetulkan, malah menjadi semakin buruk,” kata Geng.
GENEVA — China akan terus berganding bahu dengan semua negara yang mencintai keamanan untuk mendorong pelaksanaan “Penyelesaian Dua Negara” supaya isu Palestin dapat diselesaikan secara menyeluruh dan berkekalan, manakala Nakba tidak akan berulang lagi.
Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang berkata demikian semasa berucap pada sesi memperingati ulang tahun ke-77 peristiwa Nakba yang diadakan PBB pada Khamis.
“Tujuh puluh tujuh tahun lepas, lebih separuh rakyat Palestin diusir atau terpaksa meninggalkan kampung mereka semasa perang Arab-Israel, dan sejak itulah perjuangan mereka untuk mendapatkan semula hak dan kepentingan sah pun bermula.
“Hari ini, 77 tahun kemudian, ketidakadilan bersejarah yang dialami rakyat Palestin bukan sahaja tidak dapat dibetulkan, malah menjadi semakin buruk,” kata Geng.
Beliau berkata, perang di Gaza sudah berlarutan selama 19 bulan dan meragut 53,000 nyawa rakyat Palestin. Di samping itu, Israel memperhebat serangan dan pengepungan terhadap Gaza, mengakibatkan dua juta rakyat Palestin terjerumus ke dalam bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku, serta menghadapi ancaman pemindahan paksa.
Geng menekankan bahawa China tetap mengangkat keadilan dan menyokong perjuangan rakyat Palestin demi memulihkan hak bangsa yang sah.
“China menyokong pembinaan negara Palestin bebas berasaskan garis sempadan pada 1967, beribu negara di Baitulmuqaddis Timur serta mempunyai kedaulatan penuh, dan menjadi negara anggota rasmi PBB dengan secepat mungkin,” kata Geng.
Selain itu, menurut beliau, China menyokong rancangan pemulihan dan pembangunan semula di Gaza yang dikemukakan oleh Mesir dan negara-negara Arab, sementara menanti-nantikan mesyuarat peringkat tinggi mengenai pelaksanaan “Penyelesaian Dua Negara” yang diadakan bersama Perancis dan Arab Saudi pada Jun dapat menyuntik tenaga baharu bagi pelaksanaan rancangan itu.– BERNAMA-CMG
