Komuniti
Papan tanda larangan homoseksual: Tindakan Terengganu bercanggah perlembagaan – Justice for Sisters

- “Semua ini menjadikan negeri Terengganu tidak selamat untuk komuniti LGBTQ, bukan sahaja dari sudut keselamatan dan maruah, tetapi turut menafikan kebebasan bergerak seperti dijamin di bawah Perkara 9 Perlembagaan,” kata Justice for Sisters (JFS) bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil.
- Dalam kenyataan bersama, mereka berkata tindakan kerajaan negeri itu secara terang-terangan bercanggah Perlembagaan, kerana ia melanggar hak kelompok LGBTQ untuk hidup dengan bermaruah serta sebagai manusia yang setara tanpa diskriminasi dan campur tangan kerajaan dalam kehidupan kelompok berkenaan.
KUALA LUMPUR — Justice for Sisters (JFS) bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil menyifatkan tindakan Kerajaan Terengganu memasang papan tanda amaran berkaitan amalan homoseksual di lokasi strategik di negeri itu sebagai bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata tindakan kerajaan negeri itu secara terang-terangan bercanggah Perlembagaan, kerana ia melanggar hak kelompok LGBTQ untuk hidup dengan bermaruah serta sebagai manusia yang setara tanpa diskriminasi dan campur tangan kerajaan dalam kehidupan kelompok berkenaan.
Menurut mereka, kesemua hak itu dijamin di bawah Perkara 5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan meletakkan papan tanda anti-LGBTQ di lokasi strategik seperti universiti untuk menyasarkan golongan muda, kerajaan negeri sebenarnya menyekat akses golongan LGBTQ terhadap pendidikan yang setara, selamat dan bermaruah, yang dilindungi di bawah Perkara 12 Perlembagaan,
“Kajian SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) mendapati ucapan kebencian, ejekan dan keganasan seksual terhadap individu transgender dan interseks berleluasa di institusi pendidikan di semua peringkat — sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi.
“Semua ini menjadikan negeri Terengganu tidak selamat untuk komuniti LGBTQ, bukan sahaja dari sudut keselamatan dan maruah, tetapi turut menafikan kebebasan bergerak seperti dijamin di bawah Perkara 9 Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan berbahasa Inggeris yang disiar di platform WordPress Justice For Sisters.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan dengan kenyataan seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu yang mempertahankan tindakan negeri tersebut sebagai usaha menimbulkan kebencian terhadap tingkah laku homoseksual.
Ini kerana mereka berpandangan perkara itu boleh dikategorikan sebagai ‘ucapan kebencian’ di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta boleh diklasifikasikan sebagai satu bentuk advokasi terhadap diskriminasi dan kebencian.
Pemasangan papan tanda larangan perbuatan homoseksual berdekatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebelum ini dilapor berdepan kritikan beberapa pihak, termasuk aktivis transgender, Nisha Ayub yang menyifatkannya sebagai satu bentuk sokongan berbahaya terhadap kebencian serta contoh nyata diskriminasi dilakukan pihak berkuasa.
Kerajaan Terengganu kemudiannya dilapor tidak menafikan mesej pada papan tanda amaran itu sememangnya bertujuan menimbulkan rasa benci terhadap perbuatan tersebut dalam kalangan masyarakat.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata tindakan itu merupakan sebahagian usaha mendidik rakyat agar menjauhi perkara bertentangan nilai agama dan norma masyarakat.
Sementara itu, JFS bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil itu menggesa SUHAKAM dan Menteri Pendidikan Tinggi untuk mengadakan dialog dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan EXCO negeri bagi menurunkan papan tanda tersebut dengan mendakwa ia mempunyai niat, sifat dan kesan diskriminasi yang jelas dalam tindakan negeri berkenaan. — The Merdeka Times
