Connect with us

Komuniti

Papan tanda larangan homoseksual: LGBT kini isu kesihatan awam yang serius

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi
  • Susulan terdapat beberapa pihak mengkritik pemasangan papan tanda larangan homoseksual di Terengganu, Ketua Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu menegaskan LGBT bukan sekadar isu akhlak, sebaliknya kini ia menjadi isu kesihatan awam yang serius.
  • Menurut Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, statistik KKM kini menunjukkan kelompok LGBT adalah antara penyumbang utama kepada penularan jangkitan HIV di Malaysia, justeru pencegahan dari sudut agama, sosial dan kesihatan perlu dilakukan secara bersepadu dan menyeluruh.
  • Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu menyokong penuh inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dalam menaikkan papan tanda larangan terhadap perbuatan homoseksual.
  • “Ini bukanlah tindakan kebencian terhadap individu, sebaliknya satu bentuk pendidikan dan amaran kesihatan awam yang berasaskan syariat Islam dan bukti saintifik,” katanya kepada The Merdeka Times hari ini.

KUALA LUMPUR — Susulan terdapat beberapa pihak mengkritik pemasangan papan tanda larangan homoseksual di Terengganu, Ketua Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu menegaskan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bukan sekadar isu akhlak, sebaliknya kini ia menjadi isu kesihatan awam yang serius.

Menurut Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menunjukkan kelompok LGBT adalah antara penyumbang utama kepada penularan jangkitan HIV di Malaysia.

Justeru, katanya pencegahan dari sudut agama, sosial dan kesihatan perlu dilakukan secara bersepadu dan menyeluruh.

Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu menyokong penuh inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dalam menaikkan papan tanda larangan terhadap perbuatan homoseksual.

“Ini bukanlah tindakan kebencian terhadap individu, sebaliknya satu bentuk pendidikan dan amaran kesihatan awam yang berasaskan syariat Islam dan bukti saintifik,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kritikan beberapa pihak terhadap papan tanda larangan homoseksual yang dipasang di Terengganu, termasuk Justice for Sisters (JFS) bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil yang dilapor menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu secara terang-terangan bercanggah Perlembagaan.

Ini kerana dakwa mereka ia melanggar hak kelompok LGBTQ untuk hidup dengan bermaruah serta sebagai manusia yang setara tanpa diskriminasi dan campur tangan kerajaan dalam kehidupan kelompok berkenaan.

Mereka juga mendakwa tindakan itu menjadikan negeri Terengganu tidak selamat untuk komuniti LGBTQ, bukan sahaja dari sudut keselamatan dan maruah, tetapi turut menafikan kebebasan bergerak seperti dijamin di bawah Perkara 9 Perlembagaan.

Mengulas kritikan itu, Dr Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura menyifatkan JFS menggunakan hujah perlembagaan yang dangkal sekadar untuk menguatkan dakwaan dibuat mereka dalam isu ini.

Tegasnya lagi, kenyataan JFS tersebut adalah satu sangkaan buruk dan tidak berasas yang dilemparkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

“Papan tanda larangan adalah satu bentuk pendidikan dan pencegahan namun realiti dalam masyarakat tiada diskriminasi antara kaum dan kelompok di Terengganu… Cuma isunya adalah kalau perbuatan yang dibuat bersalahan dengan enakmen kerajaan negeri Terengganu kesalahan itu boleh diambil tindakan,” katanya. — The Merdeka Times

Author