Connect with us

Terkini

Mesej papan tanda larangan homoseksual bukan ajak masyarakat buli mereka – Peguam

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Peguam, Dr Shamsher Singh Thind
  • Peguam, Dr Shamsher Singh Thind berkata sekiranya kelompok LGBT mempunyai hak bercakap dan bersuara, Datuk Bandar Kuala Terengganu juga mempunyai hak sama untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di negeri itu, yang rata-ratanya beragama Islam.
  • “Hubungan seks di antara lelaki dan lelaki, secara tidak langsung, dilarang oleh seksyen 377B Kanun Keseksaan.
  • “Dalam masa sama, saya percaya perbuatan tersebut juga diharamkan dalam agama Islam. Oleh itu, tiada kebebasan diberikan kepada mana-mana lelaki untuk berhomoseksual.
  • “Saya setuju lelaki homoseksual, seperti lelaki heteroseksual, tidak boleh dibuli, tetapi saya tidak rasa mesej dalam papan billboard tersebut menjemput orang ramai untuk membuli lelaki homoseksual,” katanya.

KUALA LUMPUR — Seorang peguam berpandangan mesej disampaikan menerusi papan tanda larangan homoseksual yang dipasang di Terengganu tidak menjemput orang ramai untuk membuli lelaki daripada kelompok itu.

Pandangan itu disuarakan Dr Shamsher Singh Thind susulan terdapat beberapa pihak dilapor mengkritik pemasangan papan tanda tersebut, termasuk aktivis transgender, Nisha Ayub yang menyifatkannya sebagai satu bentuk sokongan berbahaya terhadap kebencian serta contoh nyata diskriminasi dilakukan pihak berkuasa.

Terbaharu, Justice for Sisters (JFS) bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil turut menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu itu sebagai bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Dr Shamsher berkata sekiranya kelompok LGBT mempunyai hak bercakap dan bersuara, Datuk Bandar Kuala Terengganu juga mempunyai hak sama untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di negeri itu, yang rata-ratanya beragama Islam.

“Hubungan seks di antara lelaki dan lelaki, secara tidak langsung, dilarang oleh seksyen 377B Kanun Keseksaan.

“Dalam masa sama, saya percaya perbuatan tersebut juga diharamkan dalam agama Islam. Oleh itu, tiada kebebasan diberikan kepada mana-mana lelaki untuk berhomoseksual.

“Saya setuju lelaki homoseksual, seperti lelaki heteroseksual, tidak boleh dibuli, tetapi saya tidak rasa mesej dalam papan billboard tersebut menjemput orang ramai untuk membuli lelaki homoseksual,” kata Dr Shamsher kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kritikan beberapa pihak terhadap papan tanda larangan homoseksual yang dipasang di Terengganu, termasuk JFS bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil yang dilapor menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu secara terang-terangan bercanggah Perlembagaan.

Ini kerana dakwa mereka ia melanggar hak kelompok LGBTQ untuk hidup dengan bermaruah serta sebagai manusia yang setara tanpa diskriminasi dan campur tangan kerajaan dalam kehidupan kelompok berkenaan.

Mereka juga mendakwa tindakan itu menjadikan negeri Terengganu tidak selamat untuk komuniti LGBTQ, bukan sahaja dari sudut keselamatan dan maruah, tetapi turut menafikan kebebasan bergerak seperti dijamin di bawah Perkara 9 Perlembagaan.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof bagaimanapun berpandangan sebaliknya, iaitu papan tanda berkenaan bukan sahaja menepati Perlembagaan, bahkan merupakan pendekatan amat berhemah untuk memberikan peringatan kepada rakyat Negeri Terengganu supaya menjauhi amalan bertentangan fitrah manusia. — The Merdeka Times

Author