Terkini
Dakwa papan tanda larangan homoseksual semai kebencian satu hujah cetek – PPMM

- Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata kecaman sedemikian juga terkeluar daripada acuan perundangan serta norma yang berpaksikan adab dan tatasusila masyarakat Malaysia.
- Dalam hal ini adalah penting ditegaskan bahawa prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama sekali tidak memberi lesen kepada mana-mana pihak untuk melampaui batasan undang-undang serta melanggar kesucian agama dan nilai moral masyarakat.
- Sebaliknya kempen kesedaran seumpama itu perlu diberi sokongan padu kerana ia adalah langkah penting untuk membendung ancaman gejala sosial yang kian meruncing dan berupaya meruntuhkan tatasusila serta norma murni masyarakat Malaysia.
KUALA LUMPUR — Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan dakwaan segelintir pihak kononnya kempen larangan promosi budaya homoseksual menerusi papan tanda awam di Terengganu menyemai kebencian terhadap kelompok tersebut merupakan satu hujah yang cetek dan mengelirukan.
Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata kecaman sedemikian juga terkeluar daripada acuan perundangan serta norma yang berpaksikan adab dan tatasusila masyarakat Malaysia.
Menurut Hisham, dalam hal ini penting ditegaskan bahawa prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama sekali tidak memberi lesen kepada mana-mana pihak untuk melampaui batasan undang-undang serta melanggar kesucian agama dan nilai moral masyarakat.
Beliau berkata, sebaliknya kempen kesedaran seumpama itu perlu diberi sokongan padu kerana ia adalah langkah penting untuk membendung ancaman gejala sosial yang kian meruncing dan berupaya meruntuhkan tatasusila serta norma murni masyarakat Malaysia.
“Lebih utama lagi, Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, yang mana ajarannya secara terang menolak sebarang bentuk promosi atau normalisasi gaya hidup yang bertentangan dengan fitrah manusia dan ajaran agama, termasuk budaya homoseksual.
“Tambahan pula, langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu memasang papan tanda ini berfungsi sebagai peringatan dan pendidikan berterusan kepada masyarakat awam mengenai larangan dan implikasi perundangan bagi perbuatan menyalahi undang-undang sedia ada.
“Ia termasuk peruntukan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi kesalahan jenayah sivil dan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 bagi kesalahan jenayah syariah,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsi kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat beberapa pihak dilapor mengkritik pemasangan papan tanda tersebut, termasuk aktivis transgender, Nisha Ayub yang menyifatkannya sebagai satu bentuk sokongan berbahaya terhadap kebencian serta contoh nyata diskriminasi dilakukan pihak berkuasa.
Turut mengkritik papan tanda itu adalah Justice for Sisters (JFS) bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil yang menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu tersebut sebagai bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, berdasarkan hujah dan peruntukan undang-undang sedia ada, Hisham menerusi PPMM mendesak mana-mana pihak yang cenderung membantah usaha murni tersebut supaya menghentikan cubaan menyalahgunakan peruntukan hak kebebasan bersuara dan bersidang yang telah digariskan batasannya dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hisham juga mengingatkan bahawa kebebasan bersuara perlu dizahirkan dengan penuh tanggungjawab dan berpandukan lunas undang-undang serta norma masyarakat beragama.— The Merdeka Times
