Connect with us

Terkini

KPM tumpu tujuh teras pertingkat sistem pendidikan negara

Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan tumpuan pada tujuh teras utama, termasuk menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

KPM tumpu tujuh teras pertingkat sistem pendidikan negara
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Bagi kurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid, maka aduan, cadangan dan pertanyaan boleh dikemukakan melalui saluran rasmi KPM, iaitu Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan Kaunter Khidmat Pelanggan. – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
  • “Kedua memberi penekanan pada aspek insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi wujudkan suasana harmoni akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme.”
  • “Ketiga, memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid dari keluarga B40, termasuk dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.”
  • “Keempat memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi bagi merapatkan jurang pendidikan.”
  • “Kelima, fokus pada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.”
  • “Keenam beri tumpuan kepada usaha untuk mengubah suai dan menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.”
  • “Ketujuh, akan meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah.”

 

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan tumpuan pada tujuh teras utama, termasuk menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid, maka aduan, cadangan dan pertanyaan boleh dikemukakan terus melalui pelbagai saluran rasmi KPM, termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan Kaunter Khidmat Pelanggan.

“Saya akan pastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Hadir sama, timbalannya, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, teras kedua adalah memberi penekanan kepada aspek insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme.

“Ketiga, memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40, termasuklah dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.

“Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar,” katanya. 

Fadhlina berkata, teras keempat KPM adalah memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi bagi merapatkan jurang pendidikan.

“Kelima, memberi fokus kepada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.

“Oleh itu, saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya serta memberi tumpuan kepada tekanan yang dihadapi oleh guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan,” katanya.

Selain itu, Fadhlina berkata, teras keenam KPM adalah memberi tumpuan kepada usaha untuk mengubah suai dan menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak. 

Untuk teras ketujuh, katanya, KPM akan meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah.

“Kementerian akan membuat libat urus bersama dengan agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan bawah KPM.

“Saya akan mengarahkan KSU untuk melihat perkara ini. KPM akan mengemukakan cadangan yang bersesuaian untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian 

Author