Terkini
Sistem kesihatan negara tenat, perlu reformasi segera demi 33 juta nyawa rakyat – Pemuda AMANAH Perlis

- Ketua Pemuda AMANAH Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad menegaskan kesihatan rakyat bukan benda yang boleh ditunda, jika kerajaan tidak bertindak sekarang kita akan sampai ke titik rakyat hilang kepercayaan dan doktor hilang semangat untuk berkhidmat.
- Jelasnya, di negara ini sekarang menjadi miskin dan sakit adalah satu bentuk penderitaan berganda di mana mereka bukan sahaja menanggung azab penyakit, tetapi juga diuji dengan sistem kesihatan yang semakin usang, lemah dan memenatkan.
- “Di hospital, ada warga emas yang menunggu di kerusi roda selama 8 jam untuk masuk wad, ada pula pesakit jantung yang “disarankan tunggu” kerana katil penuh.
- “Semua ini berlaku dalam sebuah negara yang belanja lebih 4.7 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) untuk kesihatan, namun masih gagal menyediakan sistem yang boleh menjaga rakyat dari saat sakit hingga sembuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
KUALA LUMPUR — Pemuda AMANAH Perlis mendesak reformasi segera sistem kesihatan negara yang disifatkan kini sedang tenat, pada masa sama rakyat juga semakin ‘sakit’.
Ketuanya, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad menegaskan kesihatan rakyat bukan benda yang boleh ditunda, jika kerajaan tidak bertindak sekarang kita akan sampai ke titik rakyat hilang kepercayaan dan doktor hilang semangat untuk berkhidmat.
Jelasnya, di negara ini sekarang menjadi miskin dan sakit adalah satu bentuk penderitaan berganda di mana mereka bukan sahaja menanggung azab penyakit, tetapi juga diuji dengan sistem kesihatan yang semakin usang, lemah dan memenatkan.
Apa yang lebih menyakitkan, menurut beliau adalah apabila seolah-olah tiada siapa yang benar-benar serius untuk memperbaiki semua itu.
“Rakyat beratur dari subuh di klinik kerajaan… Ada yang bawa bayi kecil dalam panas terik, semata-mata untuk jumpa doktor yang hanya sempat beri 3 minit konsultasi.
“Di hospital, ada warga emas yang menunggu di kerusi roda selama 8 jam untuk masuk wad, ada pula pesakit jantung yang “disarankan tunggu” kerana katil penuh.
“Semua ini berlaku dalam sebuah negara yang belanja lebih 4.7 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) untuk kesihatan, namun masih gagal menyediakan sistem yang boleh menjaga rakyat dari saat sakit hingga sembuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Tambah beliau, para doktor awam kini juga terpaksa mengorbankan masa, keluarga dan kesihatan mental mereka hingga ada yang menangis dalam surau dan pengsan dalam dewan bedah di mana situasi itu berlaku bukan kerana mereka lemah, tetapi disebabkan sistem yang menekan dan tidak mesra manusia.
Sementara di klinik kerajaan pula, beliau gambarkan sebagai panjang barisan, pendek harapan iaitu mereka hanya mampu mengambil 80 hingga 100 orang pesakit sehari, sementara mereka yang lewat perlu datang semula esok.
“Sistem kita bukan sahaja perlahan, malah tidak menyeluruh. Tiada rekod kesihatan digital menyeluruh. Kalau tukar klinik, kena cerita semula dari A sampai Z.
“Sektor swasta pula? Lagi tertekan. Kos rawatan melambung tinggi. Bayar RM100 pun belum jumpa doktor, baru daftar dan ambil ubat batuk.
“Klinik kecil yang baru buka, ramai tutup dalam masa kurang 2 tahun sebab tak mampu tanggung kos operasi. Doktor swasta pun semakin kecewa,” katanya sambil membandingkan situasi ini dengan negara jiran, Singapura yang sekalipun perbelanjaan kurang untuk kesihatan, namun hasilnya berganda.
Jelasnya, Singapura hanya membelanjakan 4.0 dari KDNK untuk kesihatan tetapi negara itu mempunyai Medisave iaitu rakyat simpan duit kesihatan sendiri melalui CPF (Central Provident Fund), MediShield Life — semua orang dapat insurans kesihatan asas dan Medifund, siapa yang tidak mampu, kerajaan bantu tanpa syarat.
Selain itu, semua rekod pesakit di negara itu juga dalam digital yang mana ia cepat dan mudah, serta hospital awam mempunyai sistem ‘menu’ iaitu siapa menginginkan kos murah boleh memilih kelas C, siapa mahukan keselesaan boleh memilih kelas A.
Hasil daripada itu menurut Dr Ahmad Fadhzil, tiada rakyat dibiarkan sakit tanpa rawatan, tiada doktor yang ‘burnout’ seperti askar perang dan rakyat negara tersebut juga lebih sihat serta hidup lebih lama.
“PMX, kalau negara lain boleh, kenapa kita tidak? Kami tidak minta yang mustahil. Kami hanya mahu sistem yang adil, terurus dan manusiawi.
“Kerajaan boleh reform FELDA. Kerajaan boleh naikkan gaji minimum. Kerajaan boleh beri tunai berbilion ringgit, maka kenapa tidak boleh reform sistem kesihatan yang menjaga nyawa 33 juta rakyat?” soalnya.
Beliau mencadangkan reformasi sistem kesihatan Malaysia, termasuk mewujudkan MadaniCare di mana rakyat wajib menyimpan dalam akaun kesihatan, memberi insurans asas kepada semua rakyat melalui MadaniCare Afiat dan menyatukan rekod kesihatan awam serta swasta dalam satu sistem Digital Madani Health. — The Merdeka Times
