Agama
Sertai majlis keagamaan bukan Islam wujudkan pemikiran liberal, jejaskan akidah – MKI

- Penyertaan umat Islam dalam amalan keagamaan bukan Muslim membawa kesan buruk dari pelbagai sudut, antaranya menjejaskan kemurnian kepercayaan tauhid, melanggar batas hukum dan rujukan fatwa-fatwa yang sah.
- Ia juga mewujudkan pemikiran liberal tanpa panduan syariat serta menjejaskan identiti Islam di mata masyarakat dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan generasi muda.
- Peringatan itu diberikan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadot yang mengambil perhatian serius tentang isu penyertaan segelintir umat Islam dalam majlis keagamaan agama lain, terutama melibatkan unsur pemujaan berhala dan ritual bukan Islam.
- “Menyertai sebarang bentuk perayaan atau ritual keagamaan lain secara langsung atau tidak langsung adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah,” katanya.
KUALA LUMPUR — Penyertaan umat Islam dalam amalan keagamaan bukan Muslim membawa kesan buruk dari pelbagai sudut, antaranya menjejaskan kemurnian kepercayaan tauhid, melanggar batas hukum dan rujukan fatwa-fatwa yang sah.
Ia juga mewujudkan pemikiran liberal tanpa panduan syariat serta menjejaskan identiti Islam di mata masyarakat dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan generasi muda.
Peringatan itu diberikan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadot yang mengambil perhatian serius tentang isu penyertaan segelintir umat Islam dalam majlis keagamaan agama lain, terutama melibatkan unsur pemujaan berhala dan ritual bukan Islam.
Ini termasuk, tindakan seperti paluan kompang oleh individu beragama Islam dalam majlis agama lain yang wajar diberi perhatian khusus kerana ia menyentuh asas utama dalam Islam iaitu akidah.
“Menyertai sebarang bentuk perayaan atau ritual keagamaan lain secara langsung atau tidak langsung adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah.
“Dalam Islam, terdapat prinsip yang jelas mengenai batas-batas dalam pergaulan dan keterlibatan dengan agama lain.
“Meskipun Islam menggalakkan toleransi dan menghormati penganut agama lain dalam urusan keduniaan, umat Islam dilarang untuk terlibat dalam ritual atau upacara keagamaan agama lain yang bertentangan akidah Islam,” kata Nooh menerusi kenyataan media yang disiar di Facebook JAKIM hari ini.

Foto: Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI yang dimuat naik di Facebook JAKIM.
Jelasnya, keterlibatan umat Islam dalam ritual agama lain, termasuk memainkan alat muzik yang mengiringi upacara tersebut menimbulkan syubhat dan menggugat akidah terutamanya jika dilakukan dengan niat untuk turut serta memuliakan ritual berkenaan.
Tambah beliau, para ulama daripada empat mazhab, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali bersepakat bahawa hukum umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang sama sekali.
“Upacara ritual keagamaan bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahu pun di tempat-tempat lain yang biasa dilaksanakan upacara ritual tersebut.
“Tidak semua yang dinamakan budaya adalah bebas nilai. Apabila unsur budaya digunakan dalam konteks ibadah agama lain, ia tidak lagi sekadar budaya, tetapi menjadi sebahagian daripada ritual agama tersebut,” katanya.

Foto: Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI yang dimuat naik di Facebook JAKIM.
Nooh menegaskan bahawa menjaga akidah adalah tanggungjawab setiap Muslim dan mereka perlu menjauhi sebarang bentuk penyertaan dalam ritual keagamaan agama lain, walaupun atas alasan budaya atau simbolik.
Beliau mengingatkan akidah adalah tunjang kehidupan seorang Muslim dan ia tidak seharusnya diperkecilkan atas nama toleransi atau semangat keterbukaan yang melampaui batas. — The Merdeka Times
