Connect with us

Politik

Kelahiran Cina merosot: Wanita MCA bimbang jadi kaum terpinggir, wakil politik berubah lemah

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengerusi Kebangsaan Wanita MCA, Datuk Wong You Fong
  • Pengerusi Kebangsaan Wanita MCA, Datuk Wong You Fong berkata menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, hanya 7,350 bayi etnik Cina dilahirkan dalam tempoh empat bulan pertama 2025 iaitu ia merosot 8.6 peratus, yang merupakan angka terendah dalam sejarah.
  • “Ini bukan sekadar penurunan statistik, (tapi) ini adalah tanda amaran serius bahawa kita sedang berdepan krisis demografi, sosial dan budaya.
  • “Jika trend ini berterusan, kita bukan sahaja akan melihat populasi yang semakin mengecil—kita bakal berdepan kemungkinan menjadi kaum minoriti yang terpinggir di negara sendiri.
  • “Perubahan seperti ini akan melemahkan wakil politik kita, pengaruh ekonomi dan kehadiran budaya kita,” – Datuk Wong You Fong

KUALA LUMPUR — Wanita MCA melahirkan kebimbangan terhadap penurunan mendadak kadar kelahiran dalam kalangan masyarakat Cina, yang berpotensi menjadikan etnik itu sebagai kaum minoriti terpinggir di tanah air sendiri.

Pengerusi Kebangsaan Wanita MCA, Datuk Wong You Fong berkata menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, hanya 7,350 bayi etnik Cina dilahirkan dalam tempoh empat bulan pertama 2025 iaitu ia merosot 8.6 peratus, yang merupakan angka terendah dalam sejarah.

“Ini bukan sekadar penurunan statistik, (tapi) ini adalah tanda amaran serius bahawa kita sedang berdepan krisis demografi, sosial dan budaya.

“Jika trend ini berterusan, kita bukan sahaja akan melihat populasi yang semakin mengecil—kita bakal berdepan kemungkinan menjadi kaum minoriti yang terpinggir di negara sendiri.

“Perubahan seperti ini akan melemahkan wakil politik kita, pengaruh ekonomi dan kehadiran budaya kita.

“Ia akan menggugat kestabilan asas kepelbagaian yang telah menyokong keamanan dan kemajuan Malaysia selama berdekad-dekad,” katanya menerusi kenyataan berbahasa Inggeris di Facebook MCA hari ini.

Tambah beliau, krisis itu tidak boleh dipisahkan daripada cabaran harian dihadapi keluarga muda seperti kos sara hidup dan pendidikan yang tinggi, harga rumah tidak mampu milik, sokongan penjagaan anak yang terhad, serta kesukaran dihadapi wanita dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga.

Jelas beliau, kesemua permasalahan itu adalah nyata dan semakin memburuk, namun sebahagian besarnya masih belum ditangani dengan menyeluruh.

“Walaupun kita bangga melihat ramai anak muda kita bercita-cita tinggi, kita juga perlu akui bahawa ramai antara mereka memilih untuk tidak berkahwin atau mempunyai anak — bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi kerana mereka merasakan mereka tidak mampu.

“Kita sedang menyaksikan hakisan harapan dan keyakinan untuk membina kehidupan keluarga yang stabil.

“Jika keadaan ini berterusan, generasi Cina Malaysia akan datang mungkin mendapati diri mereka hidup dalam sebuah negara di mana suara mereka semakin sedikit dan lemah,” kata You Fong.

Beliau turut menyeru para pendidik, terutama di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk membimbing pelajar memahami bahawa membina keluarga bukan semata-mata keputusan peribadi.

Sebaliknya, ia satu asas penting dan sumbangan untuk meneruskan kesinambungan budaya dan komuniti etnik Cina. 

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook MCA.

Jumlah kelahiran hidup di Malaysia sebelum ini dilapor merekodkan penurunan 11.5 peratus kepada 93,500 berbanding 105,613 kelahiran pada suku tahun pertama 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2025 merupakan rekod terendah pernah dicatatkan, dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Dari segi etnik, Melayu menyumbang 68.8 peratus (64,326 kelahiran), diikuti Bumiputera Lain (12.6 peratus), Cina (8.6 peratus) dan India (3.8 peratus).

Penurunan ketara dicatatkan dalam kalangan etnik Cina dan India, masing-masing berkurang satu peratus dan 0.4 peratus berbanding suku pertama 2024. — The Merdeka Times

Author