Connect with us

Terkini

Papan tanda larangan homoseksual tepati Perlembagaan, Kita bukan ‘pak turut’ budaya songsang Barat

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof
  • Papan tanda nasihat di Negeri Terengganu berkenaan larangan homoseksual bukan sahaja menepati Perlembagaan, bahkan merupakan pendekatan amat berhemah untuk memberikan peringatan kepada rakyat negeri itu supaya menjauhi amalan bertentangan fitrah manusia.
  • Itu penegasan Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof susulan Justice for Sisters (JFS) bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil dilapor menyifatkan tindakan Kerajaan Terengganu itu sebagai bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
  • Muhammad Fathi berkata sebenarnya pandangan menggalakkan amalan LGBT itu yang bertentangan undang-undang dan Perlembagaan.
  • “Perlembagaan kita ada nilai tersendiri. Kita bukan pak turut pemikiran dan budaya songsang yang diimport dari Barat.Perkara 3 jelas memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan. Apa yang dilakukan Terengganu amat menepati kehendak Perlembagaan,”- Muhammad Fathi.

KUALA LUMPUR — Papan tanda nasihat di Negeri Terengganu berkenaan larangan homoseksual bukan sahaja menepati Perlembagaan, bahkan merupakan pendekatan amat berhemah untuk memberikan peringatan kepada rakyat negeri itu supaya menjauhi amalan bertentangan fitrah manusia.

Itu penegasan Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof susulan Justice for Sisters (JFS) bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil dilapor menyifatkan tindakan Kerajaan Terengganu itu sebagai bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Muhammad Fathi berkata sebenarnya pandangan menggalakkan amalan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) itu yang bertentangan undang-undang dan Perlembagaan.

Jelasnya,  undang-undang di Terengganu juga secara jelas telah melarang LGBT.

“Satu pandangan NGO yang mundur ke belakang. Entah mengapa dalam negara kita ada manusia yang menyokong dan membela amalan songsang kaum Nabi Lut.

“Perlembagaan kita ada nilai tersendiri. Kita bukan pak turut pemikiran dan budaya songsang yang diimport dari Barat.Perkara 3 jelas memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Apa yang dilakukan Terengganu amat menepati kehendak Perlembagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini sambil menyertakan tangkap layar laporan The Merdeka Times bertajuk, “Papan tanda larangan homoseksual: Tindakan Terengganu bercanggah perlembagaan – Justice for Sisters”.

JFS bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil semalam menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu secara terang-terangan bercanggah Perlembagaan kerana ia melanggar hak kelompok LGBTQ untuk hidup dengan bermaruah serta sebagai manusia yang setara tanpa diskriminasi dan campur tangan kerajaan dalam kehidupan kelompok berkenaan.

Menurut mereka, kesemua hak itu dijamin di bawah Perkara 5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dakwa mereka lagi tindakan itu menjadikan negeri Terengganu tidak selamat untuk komuniti LGBTQ, bukan sahaja dari sudut keselamatan dan maruah, tetapi turut menafikan kebebasan bergerak seperti dijamin di bawah Perkara 9 Perlembagaan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook EY Fathi (Muhammad Fathi).

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi menyatakan kehairanan apabila kumpulan itu mengaitkan papan tanda tersebut dengan keselamatan individu yang mengamalkannya.

“Adakah papan tanda ‘jangan merokok’ juga boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada perokok? Tentunya tak ada kaitan langsung. Jadi tak timbul isu hak untuk hidup di bawah Perkara 5 dan kebebasan bergerak di bawah Perkara 9.

“Yang ganjil lagi NGO ini kaitkan dengan kebebasan politik di bawah Perkara 10 yang meliputi kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Papan tanda itu tak membawa apa-apa implikasi yang menyekat kebebasan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, dalam hal ini soal kesamarataan di bawah Perkara 8 juga tidak relevan kerana isu homoseksual adalah isu amalan dan perbuatan, ia bukan tentang jantina.

“Nasihat (di papan tanda tersebut) yang mengandungi ayat Al-Quran dan pesanan itu menyentuh soal dosa-dosa besar yang perlu dijauhi.

“Nasihat itu sama sekali tidak membawa maksud memandang rendah mana-mana individu, jauh sekali untuk mendorong kepada diskriminasi,” kata Muhammad Fathi. — The Merdeka Times



Author