Connect with us

Agama

(VIDEO) RUU Mufti: ‘Saya tidak mahu ulas kritikan Mufti Perlis’ – Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar enggan mengulas lanjut mengenai kritikan keras terhadapnya yang disuarakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 yang mensyaratkan akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) & Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar (kanan).

KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar enggan mengulas lanjut mengenai kritikan keras terhadapnya yang disuarakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 yang mensyaratkan akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiah.

Mohd Na’im berkata beliau juga tidak mahu melayan ajakan berdialog yang diutarakan Mohd Asri, yang lebih dikenali sebagai Dr Maza, kerana menghormati pandangan semua pihak.

“Saya menghormati pandangan semua orang, masing-masing ada pandangan hendak disuarakan dan saya hormati, jadi saya tiada komen (mengenai kritikal terhadapnya dan ajak berdialog).

“Apa pun, banyak perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam bermula daripada perbezaan pendapat yang tidak diuruskan dengan sebaiknya,” katanya dipetik Berita Harian selepas menyempurnakan program Seminar Adabul Ikhtilaf Peringkat Negeri Perak 2024: Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar di Ipoh pada Ahad.

Mohd Na’im dilaporkan berkata demikian ketika ditanya reaksinya terhadap kenyataan Dr Maza sebelum ini yang mengajak beliau berdialog berhubung RUU Mufti, selain meminta media rasmi kerajaan memberi ruang berkenaan secara terbuka supaya rakyat menyaksikan cara menteri berkenaan mempertahankan ideanya.

Media sebelum ini melaporkan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula Isnin lalu di mana ketika ini ia menjadi polemik dalam kalangan beberapa pihak, termasuk agamawan.

BERNAMA melaporkan Menteri Agama berkata RUU itu bertujuan untuk memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

RUU itu antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asha’irah dan al-Maturidiah’.

Bagaimanapun RUU berkenaan dikritik beberapa pihak, termasuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang bertitah bahawa tidak wajar menyempitkan takrifan ASWJ di negara ini.

Baginda bertitah tindakan seumpama itu tidak bersifat inklusif, bahkan membawa kepada elemen sektarian dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Mufti Perlis turut dilaporkan mengkritik keras Menteri Agama berkaitan RUU tersebut dan beliau percaya 97 peratus Muslim di negara ini atau lebih daripada itu tidak mampu memahami perbahasan berkenaan akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiah’.

Malah, beliau mendakwa Mohd Na’im sendiri belum tentu faham berkaitan perkara itu. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *