Terkini
KPDN pertimbang letak pegawai di stesen minyak catat jualan mendadak
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menolak kemungkinan untuk menempatkan pegawai di stesen minyak yang mencatatkan jualan mendadak bagi memantau aktiviti penjualan minyak.
- Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata tindakan itu sebagai salah satu langkah pencegahan dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.
- “Sekiranya kita dapati stesen minyak itu mengalami peningkatan jualan yang mendadak, kita ada tindakan…..yang pertama, kita tidak menolak kemungkinan untuk menempatkan pegawai di stesen berkenaan.
- “Ini sebagai satu langkah untuk melihat sama ada penjualan itu selama ini betul atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada pengusaha stesen minyak negeri Kedah di sini pada Rabu.
- Azman berkata demikian ketika mengulas dakwaan beberapa stesen minyak yang kehabisan bekalan lebih awal berbanding kebiasaannya.
SUNGAI PETANI — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menolak kemungkinan untuk menempatkan pegawai di stesen minyak yang mencatatkan jualan mendadak bagi memantau aktiviti penjualan minyak.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata tindakan itu sebagai salah satu langkah pencegahan dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.
“Sekiranya kita dapati stesen minyak itu mengalami peningkatan jualan yang mendadak, kita ada tindakan…..yang pertama, kita tidak menolak kemungkinan untuk menempatkan pegawai di stesen berkenaan.
“Ini sebagai satu langkah untuk melihat sama ada penjualan itu selama ini betul atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada pengusaha stesen minyak negeri Kedah di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa stesen minyak yang kehabisan bekalan lebih awal berbanding kebiasaannya.
Mengulas lanjut, Azman berkata KPDN juga akan membuat pemeriksaan rekod jualan membabitkan stesen minyak berkenaan.
“Kita akan meletakkan tanggungjawab itu bukan sahaja kepada stesen minyak tetapi juga terhadap syarikat minyak supaya mereka sama- sama memantau.
“Setiap liter dikeluarkan, diisi oleh kenderaan, itu bermakna ada subsidi kerajaan yang ditanggung..jadi sebab itu kita akan mengambil langkah-langkah bersesuaian untuk mengatasinya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 26,699 pemeriksaan telah dilakukan KPDN menerusi Ops Tiris 3.0 bermula Januari tahun ini.
“Bagi tempoh bermula 1 Januari sehingga 3 Ogos lepas, terdapat sebanyak 1,798 kes membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM71 juta.
“Bagi tempoh sama, sebanyak 446 tangkapan telah dibuat membabitkan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan barang bersubsidi,” katanya.
KPDN turut mengalu-alukan aduan daripada orang ramai khususnya membabitkan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi, tambah beliau.
“Tahun ini kita terima lebih 20,000 aduan daripada orang ramai membabitkan pelbagai kes…malah sepanjang Ops Tiris 3.0, bilik gerakan beroperasi setiap hari sehingga pukul 10 malam untuk orang ramai menyalurkan aduan…saya beri jaminan identiti pengadu akan dirahsiakan.
“Isu-isu berkaitan dengan barangan kawalan…barangan bersubsidi seperti bahan api petrol, diesel dan sebagainya…kita akan siasat dalam tempoh 24 jam,” katanya. — BERNAMA