Antarabangsa
3 tahun merdeka, Taliban masih tindas pendidikan buat wanita
Kerajaan Taliban Emiriyah Islam Afghanistan (IEA) “sengaja menafikan” hak pendidikan sekurang-kurangnya 1.4 juta kanak-kanak perempuan sepanjang tiga tahun pemerintahannya, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
- Menurut PBB, Kerajaan Taliban Emiriyah Islam Afghanistan (IEA) “sengaja menafikan” hak pendidikan sekurang-kurangnya 1.4 juta kanak-kanak perempuan selama tiga tahun memerintah.
- Dianggarkan 300,000 lagi kanak-kanak perempuan tidak bersekolah sejak pengiraan kali terakhir UNESCO pada April 2023.
- Agensi pendidikan dan kebudayaan PBB itu berkata 80 peratus kanak-kanak perempuan, iaitu sejumlah 2.5 juta orang dalam usia persekolahan, kini dinafikan akses kepada pendidikan.
- Afghanistan dilaporkan sebagai satu-satunya negara di dunia yang menghalang kanak-kanak perempuan dan wanita menghadiri sekolah menengah dan universiti.
Kerajaan Taliban Emiriyah Islam Afghanistan (IEA) “sengaja menafikan” hak pendidikan sekurang-kurangnya 1.4 juta kanak-kanak perempuan sepanjang tiga tahun pemerintahannya, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kira-kira 300,000 lagi kanak-kanak perempuan tidak bersekolah sejak kali terakhir Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) membuat pengiraan pada April 2023, kata PBB pada Khamis, sambil memberi amaran bahawa “masa depan seluruh generasi itu kini terancam,” lapor Al Jazeera.
Mengambil kira jumlah kanak-kanak perempuan tidak bersekolah sebelum Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, agensi pendidikan dan kebudayaan PBB itu berkata 80 peratus kanak-kanak perempuan, iaitu sejumlah 2.5 juta orang dalam usia persekolahan, kini dinafikan hak mendapatkan pendidikan.
“UNESCO bimbang dengan kesan berbahaya kadar keciciran yang semakin tinggi mengakibatkan peningkatan dalam buruh kanak-kanak dan perkahwinan di awal usia,” kata UNESCO dalam satu kenyataan.
Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang menghalang kanak-kanak perempuan dan wanita daripada menghadiri sekolah menengah dan universiti.
Sejak Taliban berkuasa, mereka mengharamkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan melangkaui darjah enam dengan alasan ia tidak mematuhi Islam tafsiran mereka – walaupun tiada negara Muslim lain yang melarang pendidikan untuk kanak-kanak perempuan. – The Merdeka Times