Connect with us

Terkini

Siasatan polis terhadap Kok Seong hina kebebasan akademik – GERAK

Tindakan memfailkan siasatan polis terhadap Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong susulan kenyataannya mengenai isu sekolah vernakular baru-baru ini, adalah penistaan kebebasan akademik, demikian kata Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK).

Hidayah Sani

Published

on

Siasatan polis terhadap Kok Seong sebagai hina kebebasan akademik - GERAK
Foto: Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
  • Tindakan memfailkan siasatan polis terhadap Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong susulan kenyataannya mengenai isu sekolah vernakular baru-baru ini, adalah penistaan kebebasan akademik, demikian kata Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK).
  • Ia juga merupakan penghinaan kepada wacana intelektual dan pemikiran kritikal dan mandiri di negara ini.
  • Meskipun, GERAK tidak bersetuju pendapat Kok Seong berkenaan isu itu, namun pihaknya menjunjung tinggi hak profesor terbabit untuk mengeluarkan pandangan berbeza.  
  • “Kami mendukung perlunya menjunjung tinggi kebebasan akademik di negara ini dan tidak membisukan pandangan yang berbeda hanya kerana alasan politik atau terdapat pihak-pihak lain tidak setuju dengan pandangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
  • Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan sebagai berkata satu kertas siasatan dibuka terhadap Kok Seong di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

KUALA LUMPUR – Tindakan memfailkan siasatan polis terhadap Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong susulan kenyataannya mengenai isu sekolah vernakular baru-baru ini, adalah penistaan kebebasan akademik, demikian kata Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK).

GERAK berkata ia juga merupakan penghinaan kepada wacana intelektual dan pemikiran kritikal dan mandiri di negara ini.

Jelasnya, meskipun GERAK tidak bersetuju pendapat Kok Seong berkenaan isu itu, namun pihaknya menjunjung tinggi hak profesor terbabit untuk mengeluarkan pandangan berbeza.  

Tambahnya, jika ada pihak tidak bersetuju dengan pandangan Kok Seong sepatutnya mereka mengajaknya berdebat secara rasional dan kritis, bukan menolak pendapat tersebut melalui pemfailan laporan polis.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga telah menyeru sekolah dan universiti untuk memupuk dan menerapkan pemikiran kritis untuk mengekang ekstremisme.

“Kami mendukung perlunya menjunjung tinggi kebebasan akademik di negara ini dan tidak membisukan pandangan yang berbeda hanya kerana alasan politik atau terdapat pihak-pihak lain tidak setuju dengan pandangan tersebut. 

“Justeru, GERAK mengecam siasatan terang-terangan terhadap Prof Teo di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 505) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

GERAK berkata pihaknya akan terus bersuara menentang ugutan dan gangguan yang berterusan terhadap semua ahli akademik di mana pada masa lalu menyaksikan ilmuwan dan cendekiawan seperti Azmi Sharom, P. Ramasamy, Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Mohd Faizal Musa (juga dikenali sebagai Faisal Tehrani) dan Syed Husin Ali juga pernah berdepan gangguan dan ugutan yang hebat. 

Beliau menegaskan ugutan dan gangguan sedemikian perlu dihentikan.

“Penghormatan terhadap kebebasan akademik sangat penting untuk membangun masyarakat yang kohesif, dan masyarakat yang berpengetahuan luas serta matang secara intelektual. 

“Para cendekiawan harus bebas untuk mengatakan kebenaran berdasarkan bukti empiris, atau untuk menawarkan pendapat yang didasari oleh pemikiran rasional, matang, dan kritis,” kata kumpulan itu. 

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan sebagai berkata satu kertas siasatan dibuka terhadap Kok Seong susulan kenyataannya berkaitan sekolah vernakular baru-baru ini.

Siasatan dibuka di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada 4 Mac lalu dilaporkan melabel Kok Seong sebagai rasis dalam Dewan Rakyat kerana membuat kenyataan didakwa berbaur hasutan berkenaan masyarakat Cina.

Ini susulan Kok Seong baru-baru ini dalam satu klip video di TikTok @themerdekatimes, mengatakan orang Cina tidak memandang tinggi kepada bangsa Melayu, sebaliknya mereka memandang hina, melihat bangsa Melayu sebagai tidak berkebolehan, tidak bijak seperti mereka, malas dan sebagainya hingga menyebabkan mereka enggan berintegrasi dan mempelajari bahasa Melayu.

Kok Seong berkata demikian ketika mengulas punca utama perpaduan kaum masih tidak sempurna hari ini selepas menyatakan penubuhan sekolah vernakular tidak boleh melebihi sekolah kebangsaan kerana ia hanya aliran sampingan, seharusnya tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan yang menjadi aliran utama sistem pendidikan negara.

Beliau tidak menafikan sekolah vernakular sememangnya menjadi penghalang kepada usaha mewujudkan perpaduan negara dan kaum. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending