Connect with us

Kolumnis

Bulan Ramadan bulan dakwah, MRM anjur Street Dakwah Qur’an dan Ramadan

“Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah.” [Al Qur’an 2:185]

Research And Development MRM

Published

on

Bulan Ramadan bulan dakwah
Foto: Program Street Dakwah Malaysia bertemakan “Qur’an dan Ramadan” anjuran MRM.

“Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah.” [Al Qur’an 2:185]

Bulan Ramadan adalah bulan Islam yang sinonim dengan ibadah berpuasa kerana bulan ini merupakan waktu di mana umat Islam diwajibkan untuk menunaikan puasa, sebagaimana disyariatkan dalam Al-Qur’an iaitu dalam Surah Al-Baqarah 2: 183-187.

Dan seringkali ayat-ayat tersebut difahami berkaitan ibadah puasa, namun jika diperhatikan sepanjang ayat ini, hanya ayat ke-185 sahaja terdapat perkataan Ramadan. 

Menariknya, perkataan Ramadan pada ayat ini menyimpan keunikan detik itu di mana Allah menghubungkan Ramadan dengan turunnya wahyu terakhir, Al-Qur’an sebagaimana kitab-kitab suci sebelumnya yang juga diturunkan pada bulan yang sama kepada nabi-nabi terdahulu. 

Sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda, 

“Lembaran suhuf Ibrahim diturunkan pada malam awal Ramadhan, Taurat turun pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan dan Allah menurunkan Al-Qur’an pada 24 Ramadhan”. [Hadis Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Katsir, Tafsir Al-Qur’anil Adzim, [Riyadh, Dar Thayyibah lin Nasyri wa Tauzi’: 1999 M], juz I, halaman 501]

Tujuan penurunan 

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 185, Allah SWT mengungkapkan kepada kita bahawa tujuan utama penurunan Al-Qur’an adalah untuk menjadi petunjuk bagi seluruh umat manusia. 

Berbeza dengan kitab-kitab sebelumnya yang hanya ditujukan kepada suatu bangsa tertentu dan hanya relevan pada waktu tertentu, al-Qur’an diturunkan sebagai panduan universal yang tiada batasan waktu. 

“Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah.” [Al Qur’an 2:185]

Petunjuk yang bagaimana? Petunjuk kepada kebenaran dan kebolehan untuk membezakan antara hak dan batil. 

Di era yang penuh kesesatan di mana kebatilan seringkali dianggap moden dan benar, sementara kebenaran dilihat sebagai mundur dan salah, maka tidak mudah untuk membezakan antara hak dan batil. 

Namun, bagi umat Islam yang membaca, memahami lantas mengamalkan isi al-Qur’an, sang petunjuk Ilahi, maka pasti mampu membezakan keduanya. 

Persoalannya, apakah masyarakat Belum Muslim menyedari bahawa hakikatnya Al-Qur’an juga menawarkan petunjuk kepada mereka? 

Kebanyakan mereka tidak menyedari kerana mereka belum pernah membaca apatah lagi mengenali al-Qur’an. Bukan kerana mereka tidak ingin membaca, tetapi ada kesalahfahaman ketara bahawa al-Qur’an hanya untuk Muslim, manakala Belum Muslim dilarang membacanya. 

Apabila muncul kesalahfahaman sebegini, membuatkan mereka semakin jauh daripada Al-Qur’an yang berpunca akibat keengganan umat Islam menyampaikan bahawa Al-Qur’an juga adalah petunjuk bagi Belum Muslim. 

Ini kerana kebanyakan Muslim sendiri menganggap tugas dakwah hanya terpikul kepada Institusi Dakwah, Jabatan Agama atau para asatizah, bukannya orang awam.

Namun, tanggapan ini tidak benar sama sekali. Sesungguhnya, menyampaikan mesej teragung ini adalah perintah Allah SWT kepada setiap individu Muslim. 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” [Al Qur’an 12:108]

Nabi Muhammad SAW juga menegaskan tentang kewajipan berdakwah.

“Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” [Sahih Bukhari, no.3461]

Amanahkah kita? 

Bayangkan situasi di mana kita menerima sepucuk surat yang penting yang tertulis “Urusan Paduka Baginda” ditujukan kepada sahabat kita yang tertera namanya.

Surat tersebut bukan sebarang surat biasa. Ia mungkin mampu mempengaruhi kehidupannya secara signifikan. Namun kerana dia tiada di rumah saat pengiriman, kita yang menerima surat tersebut sebagai wakil penerima. 

Tanpa alasan yang kukuh, kita menyimpan surat tersebut dan enggan menyampaikan kepada sahabat kita. Apakah perbuatan tersebut menggambarkan kita seorang yang amanah? 

Lagi menyedihkan, sekiranya isi surat tersebut adalah surat makluman tentang pembedahan yang boleh menyelamatkan nyawa sahabat kita. 

Disebabkan kita memilih untuk tidak berkongsi kepada mereka, tindakan itu bukan sahaja tidak amanah dan mementingkan diri tetapi boleh menyebabkan sahabat kita kehilangan nyawa dalam keadaan tidak mengetahui tentang pembedahan yang boleh menyelamatkan dirinya.  

Ini seumpama kita, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, memiliki penawar unggul yang dikenali sebagai ‘Tauhid’ yang membawa kebaikan bagi mereka yang mengambilnya. 

Penawar ini secara khusus mujarab bagi mereka yang terbelenggu dalam penyakit “Syirik”. Penyakit kronik yang dimiliki setiap individu Belum Muslim di mana mereka sendiri tidak menyedari berada dalam pengaruh penyakit tersebut. 

Penawar ‘Tauhid’ ini menawarkan penyelamatan daripada belenggu penyakit ‘Syirik’, sekaligus membuka pintu-pintu kebaikan di dunia dan di akhirat. 

Secara logiknya, sekiranya penerima penawar ini (Muslim) yang waras dan berakal pasti akan memberi ubat tersebut dengan segera tanpa beralasan dan berdalih kepada individu-individu yang dalam pengaruh penyakit tersebut.

Kerana paling utama adalah untuk menyelamatkan pesakit tersebut secepat mungkin. Maka apabila ada yang berdalih dan beralasan untuk masih enggan menyampaikan, ingatlah amaran Nabi Muhammad SAW, 

“Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya.” [Riwayat Ahmad, no.13199, dan al-Bazzar no.7196]

Bermulanya Dakwah

Nabi Muhammad SAW boleh bersenang lenang pada bulan Ramadan, fokus beribadah sepanjang masa tanpa buat perkara lain atau menerima tawaran harta, takhta dan wanita oleh pembesar-pembesar kafir Quraisy. 

Disebabkan baginda menyedari tujuan hakikat Muslim, maka baginda menolak semua itu dan keluar berdakwah walaupun nyawanya terancam sepertimana yang berlaku semasa Nabi berdakwah di Ta’if. Ketika kaki baginda sedang berdarah dengan teruk, Nabi SAW merintih kepada Allah s.w.t 

“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu atas lemahnya kekuatanku dan sedikitnya usahaku serta kehinaan diriku di hadapan manusia. Engkaulah Tuhan semesta alam, Pelindung orang-orang yang lemah dan Engkaulah Pelindungku. Kepada siapa hendak Engkau serahkan diriku. Kepada orang yang jauh yang menyerangku ataukah kepada Zat yang dekat yang mengatur urusanku. Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli…”.

Baginda melakukan dakwah bukanlah untuk masyarakat menyukainya tetapi bagi meraih redha Allah. 

Usaha ini diteruskan oleh para sahabat baginda sehingga dakwah Islam tiba ke tanah Nusantara, Tanah Melayu. Yang mana dahulunya, nenek moyang kita adalah penyembah pokok, batu dan sebagainya kecuali Allah tetapi akhirnya mereka memeluk agama Islam sehingga kita dapat dilahirkan dalam keluarga Muslim dan menikmati nikmat Islam.

Segala kenikmatan dan kesenangan dalam beribadah yang kita nikmati sekarang adalah hasil dari pengorbanan darah dan titik peluh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda dalam menyebarkan agama Islam yang bermula pada bulan Ramadan. 

Maka tidak seharusnya kita melihat Ramadan hanya bulan berpuasa, bulan banyak berterawih, bulan banyak bersedekah tetapi bulan Ramadan juga adalah bulan berdakwah.

Hanya berdakwah dapat mengeluarkan umat manusia dari kegelapan syirik dan kejahilan ke cahaya Islam. Sepertimana Allah SWT berfirman,

“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Qur’an) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji” [Al Qur’an 14:1]

Bagi menyahut seruan mulia ini, Multiracial Reverted Muslims (MRM) akan menganjurkan program Street Dakwah sepanjang bulan Ramadan di bazar Ramadan terpilih bermula 13 Mac 2024 sehingga 4 April 2024 dengan bertemakan “Qur’an & Ramadan”.

Foto: Program Street Dakwah Malaysia bertemakan “Qur’an dan Ramadan” anjuran MRM sempena bulan Ramadan tahun ini.

Marilah bersama-sama kami menyahut seruanNya dan mengimarahkan bulan penuh kemuliaan ini. Daftarlah sekarang melalui kod QR dalam poster di atas. –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending