Antarabangsa
Perang Gaza: Jerman mahu bekalkan 10,000 peluru kereta kebal kepada Israel
Hamas mengutuk keras rancangan Jerman yang mahu membekalkan 10,000 peluru kereta kebal kepada tentera rejim penjajah zionis Israel.

- Hamas mengutuk keras rancangan Jerman yang mahu membekalkan 10,000 peluru kereta kebal kepada tentera rejim penjajah zionis Israel.
- Kumpulan pembebasan Palestin itu dalam kenyataannya pada Rabu berkata, tindakan itu akan menjadikan Jerman rakan kongsi langsung dalam perang ke atas rakyat Palestin di Gaza.
- Susulan tindakan itu, Hamas berkata ia akan mempertanggungjawabkan Jerman kerana bersengkokol dengan rejim Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
- Majalah Jerman “Der Spiegel” pada Selasa mendedahkan pihak berkuasa Jerman meluluskan permintaan rejim Israel untuk memperoleh 10,000 peluru artileri berpandu 120 milimeter.
- Media melaporkan ratusan intelektual dan artis dari seluruh dunia menandatangani petisyen menuntut pemboikotan institusi kebudayaan Jerman kerana menutup suara rakyat Palestin di tengah-tengah serangan berterusan rejim Israel ke atas Gaza.
KUALA LUMPUR – Hamas mengutuk keras rancangan Jerman yang mahu membekalkan 10,000 peluru kereta kebal kepada tentera rejim penjajah zionis Israel.
Kumpulan pembebasan Palestin itu dalam kenyataannya pada Rabu berkata, tindakan itu akan menjadikan Jerman rakan kongsi langsung dalam perang ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Susulan tindakan itu, Hamas berkata ia akan mempertanggungjawabkan Jerman kerana bersengkokol dengan rejim Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Majalah Jerman “Der Spiegel” pada Selasa mendedahkan pihak berkuasa Jerman meluluskan permintaan rejim Israel untuk memperoleh 10,000 peluru artileri berpandu 120 milimeter.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya hasrat Jerman untuk bersetuju menghantar kira-kira sepuluh ribu peluru kereta kebal kepada (rejim) penjajah zionis, yang mana menjadikan Jerman rakan kongsi secara langsung dalam peperangan menentang rakyat kami dan bertanggungjawab penuh dalam aspek politik dan moral dalam jenayah perang kerajaan Nazi Zionis dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin di Gaza,” kata ahli biro politik Hamas, Dr Bassem Naeem dalam kenyataan pada Rabu.
Dr Bassem menegaskan rakyat Palestin “tidak akan memaafkan atau melupakan sesiapa yang mengambil bahagian dalam pencerobohan terhadap mereka atau memberi perlindungan kepada musuh jenayah yang melanggar segala batasan”.
Sementara itu, ratusan intelektual dan artis dari seluruh dunia menandatangani petisyen menuntut pemboikotan institusi kebudayaan Jerman kerana menutup suara rakyat Palestin di tengah-tengah serangan berterusan rejim Israel ke atas Gaza.
Daily News Egypt melaporkan penganjur kempen “Boycott Germany” berkata petisyen mereka setakat ini ditandatangani lebih 1,000 individu.
Kempen itu digambarkan di laman webnya sebagai “boikot perkauman dan penapisan anti-Palestin dalam bentuk yang paling canggih dan rasmi.”
“Pada masa di mana Gaza sedang dilenyapkan, artis dan pekerja budaya mesti berdiri untuk solidariti antarabangsa dan hak bersuara dalam menentang penyembelihan berterusan (rakyat Palestin),” kata kempen itu. – The Merdeka Times
