Connect with us

Kolumnis

Perang Palestin-Israel: Kegagalan Undang-Undang Antarabangsa dan PBB 

Konflik peperangan Palestin dan Israel bermula sejak pengisytiharan negara  haram Israel serta penyelesaian melalui pembahagian dua negara bagi Israel dan Palestin di tanah asal  Palestin pada 1947. 

hishammarzuki

Published

on

 Perang Palestin-Israel: Kegagalan Undang-Undang Antarabangsa dan PBB 
Foto: Gambar sekadar hiasan.

Konflik peperangan Palestin dan Israel bermula sejak pengisytiharan negara haram Israel serta penyelesaian melalui pembahagian dua negara bagi Israel dan Palestin di tanah asal Palestin pada 1947. 

Lanjutan itu, pelbagai siri penentangan daripada rakyat Palestin dan negara-negara Arab telah tercetus akibat daripada tindakan agresif rejim zionis terhadap bangsa Palestin. 

Mengikut resolusi 2334 pada 23 Disember 2016, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan usul berkenaan penempatan haram warga Israel di tanah-tanah milik rakyat Palestin adalah tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa. 

Namun sehingga kini,  resolusi tersebut telah gagal untuk memberi tekanan antarabangsa kepada negara haram Israel untuk  terus menghentikan kezaliman dan pembunuhan rakyat Palestin. 

Terkini, siri pengeboman terhadap penduduk di Semenanjung Gaza ketika kali terakhir peperangan berlaku pada tahun 2021 mencatatkan kematian dan kerosakan yang tinggi kepada Semenanjung Gaza.  

Mengikut undang-undang antarabangsa, tindakan penentangan rakyat Palestin ini adalah sebagai self determination di dalam mempertahankan diri, keluarga dan negara daripada dijajah oleh rejim zionis.  

Advertisement

Malah, tindakan para pendatang yahudi secara terang-terangan mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin terus dibenarkan oleh rejim zionis termasuk undang-undang Israel yang menghalalkan tindakan tersebut yang terus menafikan hak rakyat Palestin. 

Sehingga kini, ribuan nyawa rakyat Palestin telah gugur syahid di dalam siri pengeboman terkini di Semenanjung Gaza. 

Malah, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) tidak bertindak tegas dan terus berlembut dengan kekejaman yang dilakukan rejim zionis. 

Undang-undang antarabangsa juga tidak dipatuhi dan orang awam terus menjadi sasaran pengeboman rejim zionis  yang jelas mengorbankan kanak-kanak dan wanita. 

Rejim zionis juga secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa serta terus melakukan jenayah perang yang jelas di mata dunia termasuk pengeboman tempat kediaman awam, pasukan perubatan dan para wartawan.  

Negara-negara islam yang terdiri daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dilihat tidak memainkan peranan utama di dalam melawan kezaliman zionis.  

Advertisement

Ditambah dengan sentimen Yahudi yang menebal dalam kalangan negara-negara Eropah telah menjadikan isu Palestin ini kononnya sebagai pelabelan tindakan militan oleh rakyat Palestin yang bermatian mempertahan tanah air mereka. 

Selain itu, peranan yang kononnya dimainkan oleh PBB adalah gagal sebagai tujuan penubuhan iaitu untuk memastikan keamanan di seluruh dunia serta hanya dilihat seperti berat sebelah di dalam konflik ini. 

Konsep penggunaan kuasa veto negara-negara besar di dalam setiap setiap undian turut mendatangkan masalah di dalam Majlis Keselamatan PBB bertindak apabila sekutu utama Israel iaitu Amerika Syarikat dan Britain. 

Kesimpulannya, tindakan Israel di dalam meneruskan pembunuhan ke atas orang awam adalah tidak akan menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti selagi kuasa besar dunia terus menutup mata serta tidak bertegas untuk menarik sokongan di dalam tindakan kejam Israel. 

Malaysia perlu tegas dan  memainkan peranan di dalam terus mengecam dan melakukan tindakan yang padu di dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui pelbagai sumber dan cara yang ada. – The Merdeka Times

Muhamad Hisham Marzuki  adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) 

Advertisement

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Kolumnis

Dakwaan rasuah: Aduan bertulis atau lisan, SPRM siasat Ahli Parlimen menukar sokongan

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa antara lain terdapat unsur rasuah berkenaan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berubah angin menyokong pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Avatar

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa antara lain terdapat unsur rasuah berkenaan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berubah angin menyokong pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pada 14 November lalu, Bersatu membuat laporan polis susulan daripada dakwaan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 November 2023 melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan telus berhubung dakwaan Muhyiddin.

Merujuk peruntukan Seksyen 29 Akta SPRM (Akta 694), SPRM mempunyai punca kuasa untuk menyiasat sebarang aduan dan maklumat berkenaan mana-mana pelakuan suatu kesalahan yang wujud di bawah Akta SPRM. 

Aduan atau maklumat yang dimaksudkan itu boleh disampaikan secara bertulis atau lisan kepada SPRM dan selanjutnya pegawai SPRM boleh menjalankan siasatan terhadap aduan dan maklumat tersebut menurut peruntukan Akta SPRM dan Kanun Tatacara Jenayah berkenaan prosedur dan tatacara pengendalian siasatan.

Dalam konteks ini, dapat kita lihat bahawa bentuk aduan dan maklumat berkenaan mana-mana kesalahan di bawah Akta SPRM boleh dibuat sama ada dalam bentuk bertulis atau lisan kepada pihak penguatkuasa sama ada pihak polis atau SPRM secara langsung. 

Sekiranya laporan polis telah dibuat, maka pihak polis akan merujuk laporan polis itu kepada SPRM sekiranya terdapat atau wujud elemen-elemen kesalahan yang menjurus kepada peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM sebagaimana dalam isu yang viral ini.

Advertisement

Selanjutnya apabila pegawai penyiasat SPRM membuat siasatan bagi aduan dan maklumat tersebut, peruntukan Seksyen 30 Akta SPRM memberi punca kuasa kepada pegawai penyiasat SPRM untuk mengarahkan mana-mana individu untuk hadir dengan membawa sebarang dokumen diperlukan atau sebaliknya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dijalankan terhadap aduan dan maklumat yang dibuat itu. 

Bagi maksud siasatan dijalankan pegawai SPRM tersebut jua mempunyai punca kuasa untuk memeriksa dan menggeledah termasuk menyita apa-apa barang yang dijumpai tanpa memerlukan waran kecuali bagi tujuan pemeriksaan badan individu oleh pegawai SPRM hendaklah dilakukan oleh orang yang sama jantinanya sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 31 Akta SPRM.

Kemudiannya pada 28 November 2023, SPRM membuat kenyataan media bahawa tiada unsur rasuah setakat ini terhadap empat Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar, menunjukkan bahawa pada ketika ini tiada sebarang elemen kesalahan yang dipenuhi dalam mana-mana peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM untuk mewajarkan SPRM meneruskan pengesyoran pendakwaan kepada Pendakwa Raya sebagaimana peruntukan Seksyen 58 Akta SPRM. 

Walau bagaimanapun, sekiranya pada masa hadapan terdapat keterangan yang memenuhi elemen-elemen kesalahan mana-mana peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM, maka SPRM boleh meneruskan siasatan sedia ada bagi melengkapkan kertas siasatan tersebut. 

Adalah perlu diketahui bahawa bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta SPRM hendaklah terlebih dahulu mendapat keizinan daripada Pendakwa Raya bagi pendakwaan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan di dalam Akta SPRM dilaksanakan di Mahkamah.

Akhirul kalam, undang-undang pencegahan rasuah di negara kita telah mencakupi pelbagai aspek kesalahan rasuah dan kesalahan berhubung rasuah sebagaimana terkandung di dalam Akta SPRM. 

Advertisement

Matlamat penubuhan SPRM sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab selari dengan peruntukan Seksyen 2 Akta SPRM adalah wajar dilaksanakan dengan telus dan berintegriti terhadap pentadbiran awam dan swasta, termasuk mana-mana individu tidak kira latar belakang dan status jawatannya dalam mendaulatkan undang-undang negara. 

Segala aduan dan maklumat disalurkan kepada SPRM hendaklah dipandang serius dalam meletakkan kepercayaan rakyat kepada badan penguatkuasa bebas di negara kita. – The Merdeka Times

Muhammad Hariz Md Yusoff adalah Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Advertisement
Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending