Connect with us

Antarabangsa

Insiden Siam Paragon Mall: TMJ, pasukan keselamatan jadi ‘perisai manusia’ lindungi keluarga

“Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh,” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berada di hotel berhampiran pusat beli-belah Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand ketika insiden tembakan berlaku petang semalam, yang mengorbankan dua nyawa.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Insiden Siam Paragon Mall: TMJ, pasukan keselamatan jadi 'perisai manusia' lindungi keluarga
Foto: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan).
  • “Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh,” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berada di hotel berhampiran pusat beli-belah Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand ketika insiden tembakan berlaku petang semalam, yang mengorbankan dua nyawa.
  • Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berkongsi detik mencemaskan berhadapan insiden itu di Facebook dengan memaklumkan beliau dan keluarga serta pasukannya dalam keadaan selamat.
  • “Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, “semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini” dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi, HRH Crown Prince of Johor.
  • Tunku Ismail berkata beliau bersama pasukan keselamatan berdiri di hadapan keluarganya membina perisai manusia untuk melindungi mereka.

KUALA LUMPUR — “Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh,” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berada di hotel berhampiran pusat beli-belah Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand ketika insiden tembakan berlaku petang semalam, yang mengorbankan dua nyawa.

Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berkongsi detik mencemaskan berhadapan insiden itu di Facebook dengan memaklumkan beliau dan keluarga serta pasukannya dalam keadaan selamat.

Beliau berkata ketika insiden orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. 

“Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.

“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku.

“Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, “semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini” dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi, HRH Crown Prince of Johor.

Tunku Ismail berkata beliau bersama pasukan keselamatan berdiri di hadapan keluarganya membina perisai manusia untuk melindungi mereka.

Katanya, ketika itu fikirannya hanya ingin membawa keluarga dan pasukan beliau keluar daripada tempat tersebut.

“Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.

“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut. 

“Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor,” kata Tunku Ismail yang memaklumkan kesemua mereka selamat berada di kedutaan.

Beliau turut menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan untuk memaklumkan insiden yang berlaku di samping Duta Besar Malaysia turut bersama mereka.

Katanya, mereka akan ke lapangan terbang dan pulang ke Johor selepas semuanya selamat. 

Meskipun terlepas perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail bersyukur keluarga dan pasukannya selamat dan menyifatkan insiden itu pengalaman terburuk pernah dilalui, apatah lagi perlu melindungi anak-anaknya daripada pembunuh.

“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua,” kata Tunku Ismail.

Terbaharu, media melaporkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden tembakan itu yang mengorbankan dua individu dan mencederakan lima yang lain.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata pihak kedutaan sedang memantau rapat keadaan itu selain rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden itu boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi kedutaan.

Sumber : Facebook HRH Crown Prince of Johor

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *