Connect with us

Terkini

Adakah negara alami defisit belia berkualiti?

TAHUN 2030 akan menyaksikan lebih 23 peratus daripada populasi penduduk Malaysia terdiri daripada golongan belia dan anak-anak muda berumur 15 hingga 30 tahun. Berdasarkan kepada peratusan ini, golongan belia merupakan kumpulan majoriti yang akan menjadi pemegang taruh penting dalam menentukan dan mencorakkan kepimpinan negara pada masa hadapan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Lidah Pengarang

Published

on

Adakah negara alami defisit belia berkualiti?
Foto: Gambar sekadar hiasan.

TAHUN 2030 akan menyaksikan lebih 23 peratus daripada populasi penduduk Malaysia terdiri daripada golongan belia dan anak-anak muda berumur 15 hingga 30 tahun. Berdasarkan kepada peratusan ini, golongan belia merupakan kumpulan majoriti yang akan menjadi pemegang taruh penting dalam menentukan dan mencorakkan kepimpinan negara pada masa hadapan.

Cuma kebimbangannya saat ini, apakah generasi belia kini mempunyai kualiti yang mampu membanggakan negara dengan kemahiran modal insannya?

Menurut perspektif Islam, modal insan dirujuk kepada peribadi unggul yang harus dimiliki seseorang insan menerusi penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran yang tinggi dan akhlak mulia.

Namun bagaimana mahu peroleh kualiti modal insan berpengetahuan luas apabila statistik menunjukkan hanya 40 peratus daripada 500,000 lepasan SPM melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, institusi pengajian tinggi (IPT) atau TVET setiap tahun.

Ini bermakna sekitar 300,000 daripada jumlah kelompok itu tidak melanjutkan pelajaran.

“Baki 300,000 itu mungkin bekerja dalam sektor kilang atau e-hailing dan terus menambah jumlah penduduk dalam kumpulan B40 di negara ini,” kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Mei lalu.

Juga mampukah Malaysia menghasilkan penentu masa depan negara yang berkemahiran tinggi apabila 30,000 pelajar di dalam negara tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seramai 70,000 calon pelajar tidak layak untuk mendapatkan sijil tersebut.

Belum lagi kita bercakap soal modal insan yang berakhlak mulia.

Tahukah anda seramai 60,000 remaja di negara ini dikenal pasti terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah? Manakala kira-kira 106,000 lagi memiliki sejarah pengambilan ‘barang terlarang’ itu.

Tidak sekadar itu, betapa runtuhnya akhlak belia saat ini apabila platform ‘Dark Side’ atau industri pelacuran moden sudah  seakan biasa bagi menunjukkan sisi gelap anak remaja kita dengan menjual gambar bogel, panggilan video lucah dan mengghairahkan, teks lucah, bahkan ramai di antara mereka berakhir dengan zina.

Bagi mereka yang sudah memulakan kerjaya pula, sikap belia yang gemar memilih kerja, tertumpu kepada kerja ‘kolar putih’ dan glamor pula menjadi isu.

Malangnya yang memilih kerja ini terdiri daripada mereka dengan pengalaman tidak seberapa dan tiada pemikiran kritis, namun bertegas untuk peroleh tangga gaji selesa.

Hanya lantang perjuangkan hak itu dan ini tanpa melihat diri sendiri yang serba kekurangan.

Isu defisit belia berkualiti ini wajar diambil berat Kerajaan.

Mereka perlu dimaklumkan untuk menukar sikap lama yang gemar bergantung semata-mata kepada orang lain seperti Kerajaan untuk mendapatkan sesuatu.

Belia haruslah mempunyai sikap berdikari dalam segala usaha mereka. Mereka harus mempunyai matlamat hidup yang jelas, cita-cita tinggi untuk maju, disiplin diri dan berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan.

Pendek kata sikap-sikap yang negatif seperti takut menghadapi risiko kerana enggan keluar dari zon selesa, tidak toleran, kekurangan minat terhadap sesuatu yang boleh mendatangkan faedah, tidak suka bekerjasama dan mementingkan diri sendiri hendaklah dikikis dan dibuang.

Belia suka atau tidak, mereka wajar sedar, mereka merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara.

Oleh itu, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan belia sendiri harus berusaha meningkatkan keupayaan dan kecekapan mereka. Tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan adalah agak sukar bagi belia untuk mengharungi kesulitan kehidupan masa depan apatah lagi hendak memajukan negara.

Ini boleh menjejaskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan yang hendak dicapai selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju di dalam era Revolusi 4.0 ini.

Namun sedarkah kita akan kroniknya isu defisit belia berkualiti yang sedang dihadapi negara? – The Merdeka Times

Author