Antarabangsa
X lengahkan akses kepada Reuters, NY Times, media sosial saingan
Syarikat media sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, melengahkan akses pautan kepada kandungan berita laman sesawang Reuters, New York Times (NY Times) dan saingan seperti Bluesky, Facebook serta Instagram.
- Syarikat media sosial X, melengahkan akses pautan kepada kandungan berita laman sesawang Reuters, New York Times (NY Times) dan saingan seperti Bluesky, Facebook serta Instagram.
- Menurut laporan Washington Post, jika pengguna klik pada pautan X ke salah satu laman sesawang yang terjejas itu, ia akan mengakibatkan kelewatan kira-kira lima saat sebelum halaman berkenaan dimuat naik.
- Apabila dihubungi, X mengesahkan kelewatan terbabit sudah ditangani tetapi tidak menjelaskan secara terperinci.
DALLAS: Syarikat media sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, melengahkan akses pautan kepada kandungan berita laman sesawang Reuters, New York Times (NY Times) dan saingan seperti Bluesky, Facebook serta Instagram.
Menurut laporan Washington Post, jika pengguna klik pada pautan X ke salah satu laman sesawang yang terjejas itu, ia akan mengakibatkan kelewatan kira-kira lima saat sebelum halaman berkenaan dimuat naik.
Portal media itu menjalankan ujian pada Selasa lepas dan mendapati Reuters juga mengalami kelewatan yang sama.
Menjelang lewat petang Selasa, X dilaporkan sudah menghapuskan kelewatan itu.
Apabila dihubungi untuk mendapatkan ulasan, X mengesahkan kelewatan terbabit sudah ditangani tetapi tidak menjelaskan secara terperinci.
Jutawan Elon Musk, yang membeli Twitter pada Oktober 2022, sebelum ini menyelar pertubuhan berita dan wartawan yang melaporkan secara kritikal mengenai syarikatnya, termasuk Tesla dan SpaceX.
Twitter sebelum ini menghalang pengguna daripada menyiarkan pautan ke pentas media sosial pesaing.
Reuters tidak dapat menentukan masa yang tepat apabila X mula menangguhkan pautan ke beberapa tapak laman sesawang.
Seorang pengguna di forum teknologi, Hacker News, pernah menghebahkan mengenai kelewatan itu dan mendakwa X mula menangguhkan pautan ke New York Times pada 4 Ogos.
Pada hari sama, Musk mengkritik liputan penerbitan Afrika Selatan dan menuduh syarikat itu menyokong gesaan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Jurucakap NY Times berkata ia belum menerima penjelasan daripada X mengenai kelewatan pautan itu.
“Walaupun kami tidak tahu rasional di sebalik kelewatan masa ini, kami bimbang dengan tekanan disasarkan yang dikenakan kepada mana-mana pertubuhan berita atas sebab yang tidak jelas,” kata jurucakap NY Times.
Sementara itu, Jurucakap Reuters berkata pihaknya mengetahui laporan dalam Washington Post mengenai kelewatan membuka pautan kepada cerita Reuters di X dan sedang meneliti perkara itu.
Bluesky, saingan X yang mempunyai pengasas bersama Twitter, Jack Dorsey, tidak membalas permintaan untuk komen.
Meta, yang memiliki Facebook dan Instagram, tidak segera menjawab permintaan untuk komen. – REUTERS
Sumber: Berita Harian