Terkini
Sepanduk ‘Ini tanah Melayu’, Wan Saiful nafi PN naik sepanduk provokasi
Pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) menafikan bahawa gabungan politik pembangkang itu mempunyai kaitan dengan bahan kempen pilihan raya negeri berbaur perkauman.
- Pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) menafikan gabungan politik pembangkang itu mempunyai kaitan dengan bahan kempen pilihan raya negeri berbaur perkauman.
- Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sepanduk berunsur provokasi itu dinaikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat menggambarkan PN adalah dalang di sebalik pemasangan sepanduk berkenaan.
- “Saya harap rakyat boleh menilai dengan rasional tindakan musuh politik yang terdesak mahu memburukkan PN. Mereka sanggup menggunakan sentimen perkauman untuk memecahbelahkan rakyat, demi mendapatkan kuasa,” katanya.
- Antara tulisan dalam sepanduk berkenaan antaranya berbunyi: ‘Ini tanah Melayu, ini tanah kita, bukan Melayu hanya menumpang.’
KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) menafikan bahawa gabungan politik pembangkang itu mempunyai kaitan dengan bahan kempen pilihan raya negeri berbaur perkauman.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sepanduk berunsur provokasi itu telah dinaikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat menggambarkan PN adalah dalang di sebalik pemasangan sepanduk berkenaan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengutuk sekeras-kerasnya kempen kotor itu di beberapa lokasi termasuk di DUN Balakong, Kajang dan Sungai Ramal dalam Parlimen Bangi.
“Taktik kotor ini menunjukkan betapa pihak musuh semakin terdesak sehingga sanggup memainkan sentimen perkauman untuk matlamat politik. Taktik kotor ini bukan cara kami.
“Kami langsung tidak terlibat, malah kami giat berkempen secara sihat dan harmoni.
“Saya harap rakyat boleh menilai dengan rasional tindakan musuh politik yang terdesak mahu memburukkan PN.
“Mereka sanggup menggunakan sentimen perkauman untuk memecahbelahkan rakyat, demi mendapatkan kuasa,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial beberapa keping gambar sepanduk memaparkan warna dan logo yang menyerupai PN dan Pas dengan kenyataan bertulis berbentuk provokasi serta perkauman.
Antara tulisan dalam sepanduk berkenaan antaranya berbunyi: ‘Ini tanah Melayu, ini tanah kita, bukan Melayu hanya menumpang.’
Selain itu, terdapat sepanduk memaparkan kenyataan didakwa daripada PN berbunyi: ‘Orang muda akan sesat dan rosak jika undi Kerajaan Perpaduan.’
Gambar itu juga menunjukkan logo Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dipangkah warna putih sebagai tanda pengundi tidak memilih kedua-dua gabungan politik berkenaan pada PRN yang berlangsung esok.
Satu lagi gambar tular ialah mengundi logo PN sama dengan logo Pas tertera tulisan ‘masuk syurga’.
Sumber: Utusan Malaysia