Terkini
Cagaran KWSP langsung tidak membantu golongan B40 – Pakar
Wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman dilihat langsung tidak dapat melegakan golongan B40.
- Wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman dilihat langsung tidak dapat melegakan golongan B40.
- Kaedah itu hanya dapat membantu golongan M40 dan T20 untuk membuat pinjaman dengan bank.
- “B40 ini dah hadapi masalah, jadi kalau dia pergi bank pun mungkin tak lepas.. sebab pinjaman tak cukup,” – Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff
- Mana-mana individu yang menghadapi masalah kewangan boleh mendapatkan bantuan dari pelbagai agensi yang menyediakan kemudahan tersebut.
- “Macam yang mengendalikan zakat, wakaf, di peringkat NGO dan juga peringkat komuniti serta individu,” katanya.
KUALA LUMPUR – Wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman dilihat langsung tidak dapat melegakan golongan B40.
Sebaliknya, alternatif itu hanya dapat membantu golongan M40 dan T20 untuk membuat pinjaman dengan bank.
Pakar ekonomi yang juga Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata terdapat kemungkinan golongan B40 tidak melepasi syarat kelayakan cagaran KWSP itu.
“B40 ini dah hadapi masalah, jadi kalau dia pergi bank pun mungkin tak lepas pinjaman itu atas sebab pinjaman tak cukup.
“Atau B40 ini hadapi masalah kewangan atau sudah berhutang. Jadi skor kredit dia dah tak bagus.
“Pinjaman KWSP ini nak tambah hutang atas hutang yang sedia ada dan mungkin risiko bankrupt dia tinggi. Sukarlah bank nak kasi lulus,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Ahmed Razman mencadangkan mana-mana individu yang menghadapi masalah kewangan untuk terus mendapatkan bantuan dari pelbagai agensi yang menyediakan kemudahan tersebut sama ada di peringkat persekutuan, negeri, atau majlis agama.
“Macam yang mengendalikan zakat, wakaf, di peringkat NGO dan juga peringkat komuniti serta individu.
“Sebab banyak kemudahan, bantuan, yang boleh diberikan oleh agensi tersebut tanpa kita menggunakan wang KWSP,” katanya.
Beliau juga mengulas mengenai kisah pemandu teksi, Norazlan Ismail yang berjalan kaki membawa misi pengeluaran caruman KWSP dari Tol Skudai menuju Istana Negara sejauh 312 kilometer.
“Dia sebagai rakyat Johor di bawah kerajaan negeri Johor menyediakan 14 jenis kemudahan kewangan kepada rakyatnya.
“Jadi persoalannya kat sini kenapa dia nak jalan bersusah payah keluarkan duit dia sedangkan dia tak perlu keluarkan duit dia.
“Dia boleh minta bantuan zakat, minta bantuan wakaf dan tunai rahmah. Maknanya semua ini tak menggunakan duit dia dan ada yang boleh berikan percuma kat dia tanpa perlu meminjam dan sebagainya,” katanya.
Jelasnya, isu di sini adalah kurangnya promosi dan pemahaman dalam kalangan rakyat mengenai saluran yang betul untuk memohon bantuan kewangan.
“Mungkin rakyat tak berapa tahu nak minta ataupun mungkin di pihak kerajaan negeri dan persekutuan, tak tahu nak mempromosi bantuan-bantuan itu.
“Saya lihat sebenarnya banyak alternatif bantuan yang lebih bagus daripada KWSP,” katanya.
7 April ini, pencarum KWSP berusia 40 tahun ke atas layak membuat pinjaman bank dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 hingga maksimum RM50,000 dalam Akaun 2.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan KWSP pada Isnin, dua bank menyediakan kemudahan pinjaman ini iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank dengan kadar faedah serendah empat peratus. – The Merdeka Times.