Connect with us

Terkini

Menteri Pendidikan diminta fokus isu utama, silibus berat bukan asyik lawat sekolah

Menteri Pendidikan, Fahdlina Sidek didakwa tidak menyediakan penyelesaian bagi isu pendidikan yang sepatutnya dijadikan prioriti sebaliknya dalam tempoh mengendalikan kementerian beliau sekadar menjalankan lawatan dari sekolah ke sekolah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Menteri Pendidikan diminta fokus isu utama, silibus berat bukan asyik lawat sekolah
Foto: Akhi Fairuz Al-Jengkawi (dalam gambar) Fadhlina Sidek (kanan)
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek didakwa tidak menyediakan penyelesaian bagi isu pendidikan yang sepatutnya dijadikan prioriti sebaliknya dalam tempoh mengendalikan kementerian beliau sekadar menjalankan lawatan dari sekolah ke sekolah.
  • Pakar motivasi, Akhi Fairuz Al-Jengkawi bagaimanapun tidak menafikan lawatan dan memberi sumbangan kepada fasiliti sekolah-sekolah tertentu yang dilaksanakan Fadhlina ketika ini, bukanlah perkara yang tidak bagus.
  • Isu silibus berat sudah lama disuarakan guru-guru dan ibu bapa, namun ia tidak dijadikan prioriti oleh pihak kementerian untuk diselesaikan.
  • Terbaharu, ada guru berkongsi soalan Sains dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) tahun lima yang disifatkan tidak masuk akal.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek didakwa tidak menyediakan penyelesaian bagi isu pendidikan yang sepatutnya dijadikan prioriti sebaliknya dalam tempoh mengendalikan kementerian beliau sekadar menjalankan lawatan dari sekolah ke sekolah.

Pakar motivasi, Akhi Fairuz Al-Jengkawi bagaimanapun tidak menafikan lawatan dan memberi sumbangan kepada fasiliti sekolah-sekolah tertentu yang dilaksanakan Fadhlina ketika ini, bukanlah perkara yang tidak bagus.

Beliau berkata demikian, ketika mengulas isu silibus berat yang sudah lama disuarakan guru-guru dan ibu bapa, namun ia tidak dijadikan prioriti oleh pihak kementerian untuk diselesaikan.

Terbaharu, ada guru berkongsi soalan Sains dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) tahun lima yang disifatkan tidak masuk akal.

Antara soalan subjek Sains UASA bagi murid-murid Tahun Lima.

“Dah sebulan lebih YB Fadhlina Sidek mengepalai kementerian, tetapi tak nampak isu ini menjadi prioriti untuk diselesaikan. Tak selesai segera pun tak apa, yang penting ada usaha ke arah itu.

Yang saya nampak, lawatan ke sekolah, beri ratus ribu sumbangan untuk fasiliti sekolah-sekolah tertentu, lawatan ke Terengganu, lawatan ke Johor dan lawatan itu ini. 

“Bukan nak kata lawatan tu tak bagus, tapi ada banyak lagi isu yang boleh diutamakan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, semalam.

Menurutnya, Fadhlina perlu memberi fokus kepada isu silibus sekolah khususnya sekolah rendah kerana ketika ini para murid di tahap satu terutamanya berhadapan soalan mahupun silibus yang disifatkan susah sehingga membunuh minat mereka untuk belajar.

“Kesian anak-anak yang dahagakan ilmu, tetapi perlu mengadap soalan/silibus susah begini hingga membunuh minat belajar mereka (membunuh minat belajar ini ibarat ‘jenayah pembunuhan’ yang dilakukan oleh orang dewasa terhadap kanak-kanak)

“YB gegar sikit Lembaga Peperiksaan itu. Bayar gaji tiap-tiap bulan, tapi ini hasilnya.

“Bantuan biar sama adil mengikut keperluan sekolah.

“Maaf YB, terpaksa tulis juga bab ini di Facebook, walau kita saling mengenali secara peribadi,” katanya yang turut mengingatkan agar admin di page kementerian tidak mengabaikan komen dari netizen dan bertindak pantas jika perlu.

Dalam pada itu, beliau turut berkata sepatutnya sebarang peruntukan yang disediakan diberi secara sama rata di semua sekolah mengikut keuzuran bukannya hanya disumbangkan kepada sekolah dikunjungi Fadhlina sahaja.

Beliau juga berkata, Fadhlina perlu menggunakan tenaga kerja daripada pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya ingin menyalurkan peruntukan secara langsung ke sekolah.

“Jika luluskan dana ratus ribu saat lawat sekolah tertentu untuk fasiliti, kenapa tak lulus je ratus juta atau bilion untuk agihkan sama adil ke semua sekolah di Malaysia?

“Sekolah di kawasan pedalaman Sabah Sarawak? Sekolah yang terbakar tahun lepas di Gombak? Cikgu Mohd Fadli Salleh ada update pasal ini. Sekolah yang punyai lebih 3000++ orang pelajar hingga 1 kelas dipenuhi 40 orang murid?

“Majoriti sekolah kerajaan di negara kita ini dah uzur YB. Ada lebih 10k sekolah, takkan nak pergi ke setiap sekolah dan bagi peruntukan sama rata? Akhirnya sekolah-sekolah lain pakat dengki dan minta YB turun melawat ke sekolah mereka pula,” katanya. 

Bagaimanapun, Akhi Fairuz tetap menyambut baik usaha Fadhlina yang mengadakan pertemuan dengan guru adiwira, Cikgu Samuel Isaiah dan Cikgu Cheryl Fernando, kerana menurutnya rugi sia-siakan pengalaman serta kepakaran Guru Adiwira di Malaysia ini.

Antara lain, usaha Fadhlina yang disukai beliau adalah adanya kerja berpasukan apabila ketika Menteri Pendidikan itu gagal menjawab pertanyaan wartawan, maka beliau akan menyerahkannya kepada Ketua Pengarah Pendidikan.

Malah, beliau turut memuji Fadhlina yang terlihat yakin dalam menjawab soalan dari wartawan selain menjalinkan hubungan baik dengan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kerana beliau yakin banyak perkara boleh dipelajari oleh Fadhlina menerusinya.

Disember lalu, media melaporkan Fadhlina Sidek berkata akan membuat semakan semula terhadap silibus pembelajaran tahap satu seperti desakan pakar pendidikan sebelum ini.

Sebelum ini, pakar pendidikan berpendapat silibus pembelajaran murid sekolah rendah tahap satu sepatutnya mengambil kira tahap kemampuan kanak-kanak dan tidak terlalu sukar sehingga membebankan. – The Merdeka Times

Sumber : Facebook Akhi Fairuz Al-Jengkawi

 

Author