Antarabangsa
COVID-19: EU setuju ketatkan saringan namun tidak kenakan sekatan terhadap pengembara China
Kesatuan Eropah (EU), semalam, ‘amat menggalakkan’ negara anggotanya melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas semua pengembara dari China sebelum berlepas dan menaiki pesawat.

- Kesatuan Eropah (EU), menggalakkan negara anggotanya melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas semua pengembara dari China sebelum berlepas dan menaiki pesawat.
- Walaubagaimanapun, tindakan itu berkemungkinan Beijing marah, sebelum ini telah mengkritik industri penerbangan global kerana hanya menyasarkan pengembara dari negara itu.
- Hasil perbincangan selama seminggu antara pakar kesihatan EU, bersetuju bahawa semua 27 negara anggota perlu perketatkan saringan tetapi tidak mengenakan sekatan perjalanan seperti dilaksanakan Itali, Perancis dan Sepanyol pada peringkat nasional.
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU), semalam, ‘amat menggalakkan’ negara anggotanya melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas semua pengembara dari China sebelum berlepas dan menaiki pesawat.
Tindakan itu bagaimanapun berkemungkinan menyebabkan Beijing marah, yang sebelum ini sudah pun mengkritik industri penerbangan global kerana hanya menyasarkan pengembara dari negara itu .
Hasil perbincangan selama seminggu antara pakar kesihatan EU, blok itu bersetuju bahawa semua 27 negara anggota perlu memperketatkan saringan tetapi tidak mengenakan sekatan perjalanan seperti yang dilaksanakan Itali, Perancis dan Sepanyol pada peringkat nasional.
China menolak sekeras-kerasnya tindakan itu dan memberi amaran mengenai ‘tindak balas’ sekiranya dasar berkenaan dikenakan di seluruh blok EU
Presiden EU, dalam satu kenyataan, berkata negara anggota ‘bersetuju dengan pendekatan berjaga-jaga yang disyorkan’.
Perkara penting dalam kenyataan itu menegaskan, ‘negara anggota amat digalakkan untuk menjalankan ujian COVID-19 bagi semua penumpang dari China.
Berhubung isu lain, EU berkata terdapat persetujuan penuh untuk meminta penumpang memakai pelitup muka ketika melakukan perjalanan pergi dan balik dari China serta menawarkan nasihat mengenai kebersihan diri selain isu kesihatan.
Awal pagi semalam, jurucakap Suruhanjaya EU, Tim McPhie, berkata ‘majoriti besar negara menyokong’ mengenakan ujian saringan terhadap penumpang dari China sebelum berlepas, bagaimanapun EU gagal mendapat persetujuan semua.
Kerajaan China dan pakar kesihatan Eropah berkata tidak ada keperluan mendesak untuk sebarang sekatan menyeluruh terhadap perjalanan kerana varian coronavirus yang muncul dari China sudah berleluasa di Eropah.
Semalam, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan di seluruh dunia, turut menyokong protes itu.
Menurut Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh, beliau kecewa melihat pengembalian semula langkah-langkah yang terbukti tidak berkesan sejak tiga tahun lalu.
“Penyelidikan yang dilakukan, jelas menunjukkan bahawa meletakkan halangan terhadap perjalanan tidak memberi perbezaan ketara kepada penularan jangkitan.
“Paling banyak, sekatan menangguhkan puncak penularan itu untuk beberapa hari,” katanya.
Bagaimanapun, ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, semalam berkata beliau memahami mengapa kebanyakan negara mengambil langkah itu terhadap pengembara dari China, memandangkan terdapat kekurangan data membabitkan wabak dari kurangnya ketelusan kerajaan China.
Malah, Pengarah Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, berkata protokol ujian yang dilaksanakan oleh sesetengah negara bukanlah sekatan terhadap perjalanan.
Sehari selepas mengeluarkan kenyataan tindakan balas yang mengancam, jurucakap kerajaan China, Mao Ning, semalam berkata mereka berharap semua pihak akan memberi tumpuan memerangi wabak itu sendiri dan elak daripada mempolitikkan COVID.
Bagaimanapun, EU masih berusaha untuk mengambil beberapa tindakan bersama bagi memastikan penumpang masuk dari China tidak membawa sebarang varian baharu ke benua itu.
Sepanjang minggu lalu, negara EU kecoh berhubung tindakannya terhadap krisis di China dan mengabaikan komitmen awal untuk bertindak secara bersama.
Itali adalah negara EU pertama yang mewajibkan ujian coronavirus untuk penumpang syarikat penerbangan yang datang dari China, diikuti dengan pantas oleh Perancis dan Sepanyol yang mengenakan sekatan sendiri. – AP
Sumber: Berita Harian
