Connect with us

Terkini

PM perlu tolak tuntutan Dong Zong iktiraf UEC

Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengukuhkan agenda perpaduan di negara ini, disebabkan itu Perdana Menteri perlu menolak tuntutan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Wartawan TMT

Published

on

PM perlu tolak tuntutan Dong Zong iktiraf UEC
Foto: Datuk Zainal Abidin Borhan.
  • Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan menyokong penuh PM ke-10 yang mahu mengukuhkan agenda perpaduan negara ini.
  • Disebabkan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menolak tuntutan Dong Zong untuk mengiktiraf Sijil UEC.
  • Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Borhan berpendapat, pengiktirafan berkenaan bertentangan dengan sistem pendidikan kebangsaan sedia ada.
  • Malah, pihaknya turut menyifatkan tuntutan Dong Zong adalah bertentangan dengan aspirasi negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
  • “Kerajaan juga digesa tidak meluluskan sebarang peruntukan kepada sekolah dan pusat pengajian swasta yang dituntut oleh Dong Zong,” katanya.

Kuala Lumpur: Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengukuhkan agenda perpaduan di negara ini, disebabkan itu Perdana Menteri perlu menolak tuntutan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pihaknya berpendapat pengiktirafan berkenaan bertentangan dengan sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Malah, pihaknya turut menyifatkan tuntutan Dong Zong untuk mengiktiraf UEC adalah bertentangan dengan aspirasi negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlulah dimartabatkan oleh Kementerian Pendidikan manakala UEC ialah sistem peperiksaan yang disediakan oleh persatuan sekolah swasta Cina yang bercanggah dengan pembinaan jati diri negara bangsa Malaysia.

“Kerajaan juga digesa tidak meluluskan sebarang peruntukan kepada sekolah dan pusat pengajian swasta yang dituntut oleh Dong Zong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan turut dikeluarkan secara bersama dengan 11 wakil badan bukan kerajaan yang menghadiri pertemuan bagi membincangkan mengenai UEC berkenaan.

Selain Zainal Abidin dari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), wakil NGO itu antara lain adalah daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Dr Mohamad Saleed Rahamad, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPPM) Datuk Abdul Raof Hussin dan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid.

Selain itu ialah daripada wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Mohd Sahandri Gani, wakil Persatuan Penulis Budiman Malaysia iaitu Prof Dr Abd Halim Ali, Persatuan Penulis Budiman Malaysia Profesor Madya Dr Abdul Halim Hussein dan Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti, Majlis Perundangan Melayu (MPM) Kamal Shukri Abdullah Sani.

Turut serta ialah Kor Akwam 181 Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Mohamad Zai Mustafa, Persatuan Sejarah Batu Pahat Ramlee Wahab dan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Jasni Md Kechik.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan itu sedia untuk memberikan kerjasama pada kerajaan dalam perkongsian kepakaran dan nasihat demi negara yang sejahtera dan bersatu padu.

“Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan menjunjung tinggi hasrat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan perpaduan yang dapat menjamin kestabilan negara berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan.

“Kami yakin bahawa kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia memahami agenda pembentukan negara bangsa yang mengutamakan bahasa Melayu dalam sistem Pendidikan dan pentadbiran negara,” katanya.

Sebelum ini, Dong Zong memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional selepas sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya UEC diiktiraf.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji dasar UEC pada Oktober 2018 dan berjanji untuk mengiktiraf sijil pendidikan berkenaan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Dong Zong dalam kenyataan medianya baru-baru ini membuat permohonan maaf dan memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC, selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.

Sumber : Harian Metro

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending