Connect with us

Terkini

DAP perlu mohon maaf kepada orang Melayu dan Muslim – Mufti Perlis

Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang ketika ini bersama kerajaan baharu perlu memohon maaf kepada semua masyarakat Muslim dan orang Melayu di Malaysia sepertimana permohonan maaf yang dibuat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan rakyat Sarawak.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

DAP perlu mohon maaf kepada orang Melayu dan Muslim - Mufti Perlis
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tuntutan maaf itu, sepertimana dilakukan kepada GPS dan rakyat Sarawak, dicadangkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memandangkan DAP akan bersama kerajaan baharu diterajui PH yang akan dibentuk nanti.
  • Ini diharapkan dapat meredakan perasaan masyarakat majoriti negara ini dan memulakan azam lebih baik dengan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat Melayu negara ini.
  • “Jika DAP enggan, mereka kelihatan sama sahaja dengan identiti DAP yang umat Islam resah dan tolak sebelum ini,” kata Mohd Asri.
  • Beliau juga menyarankan kesemua parti politik lain dan pihak beri ruang kepada Anwar melaksanakan agenda pemerintahan beliau selaku PM ke-10.
  • Selagi tiada zahir kemungkaran atau mafsadah ke atas rakyat, tiada alasan untuk sesiapa membantah atau mengganggu pemerintahan, kata Mohd Asri.

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang ketika ini bersama kerajaan baharu perlu memohon maaf kepada semua masyarakat Muslim dan orang Melayu di Malaysia sepertimana permohonan maaf yang dibuat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan rakyat Sarawak.

Perkara itu dicadangkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memandangkan parti itu akan bersama dengan kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas ini.

Ini diharapkan dapat meredakan perasaan masyarakat majoriti negara ini dan memulakan azam yang lebih baik dengan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat Melayu negara ini.

“Jika DAP enggan, mereka kelihatan sama sahaja dengan identiti DAP yang umat Islam resah dan tolak sebelum ini,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam kenyataan sama, Mufti Perlis itu mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 semalam. 

Beliau juga menyarankan kesemua parti politik dan pihak terkait memberikan ruang dahulu kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu melaksanakan agenda pemerintahan beliau selaku Perdana Menteri Malaysia.

Katanya, selagi tiada zahir kemungkaran atau mafsadah ke atas rakyat, tiada alasan untuk sesiapa membantah atau mengganggu pemerintahan.

“Saya juga berpendapat parti yang mempunyai dominasi Muslim perlu menyertai kerajaan baharu ini jika mereka bimbang dominasi dalam kerajaan pihak yang mungkin membawa perkara yang bercanggah dengan identiti negara atau merosakkan integriti pentadbiran. 

“Dengan sokongan yang kuat, kerajaan baharu tidak bimbang ugutan golongan tertentu untuk keluar kerajaan jika tuntutan mereka tidak diperolehi,” katanya. 

DAP semalam membuat permohonan maaf atas sebarang kenyataan dibuat pemimpin parti itu sebelum ini yang menyinggung perasaan kerajaan negeri serta rakyat Sarawak.

Permohonan maaf itu disampaikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kepada Pengerusi GPS dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Kuching, Sarawak.

Terkini, kerajaan baharu diterajui PH, yang diketuai Anwar, disertai wakil rakyat Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – The Merdeka Times

Sumber: Facebook Dr Maza

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *